KLUANG - Seramai 17 pasangan mempelai selamat dinikahkan di Dewan Pekan Rabu, di sini, pada Majlis Penyatuan Dua Hati ‘Raikan Cinta’, anjuran Badan Kebajikan Pejabat Kadi Daerah Kluang, kelmarin.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Kluang, Mohd Khalil Md Noor berkata, program pernikahan beramai-ramai itu julung kali dianjurkan Pejabat Kadi Daerah Kluang, mendapat sambutan menggalakkan walaupun penyertaannya dihadkan.
Menurutnya, menerusi program itu, pasangan pengantin hanya perlu membayar RM2,500 untuk urusan pernikahan, majlis persandingan dan penginapan di Hotel Prime City.
"Kita gembira dengan sambutan diberikan pada majlis penyatuan dua hati ini.
Bagi menjayakan majlis ini, saya juga dibantu dua lagi jurunikah dari Pejabat Kadi Daerah Kluang sendiri, untuk menikahkan pasangan terlibat.
"Idea ini tercetus apabila ramai pasangan memberi cadangan supaya mengadakan perkahwinan beramai-ramai, kerana menjimatkan kos jika dibuat sekali gus," katanya.
Konsep gotong-royong
Mohd Khalil yang juga Kadi Daerah Kluang berkata, majlis itu dijayakan dengan konsep gotong-royong melibatkan semua persiapan dengan kos berjumlah RM42,000.
Katanya, bukan itu sahaja setiap pasangan pengantin turut diberi 50 kad jemputan untuk mengundang sanak-saudara bersama meraikan majlis bersejarah itu.
"Berdasarkan pemerhatian, majlis berjalan lancar dan menerima maklum balas yang baik daripada semua pasangan.
"Kita bercadang mengadakan majlis perkahwinan seumpama ini lagi pada masa akan datang, bagi membantu pasangan belum berkahwin mengadakan majlis tanpa membebankan mereka.
"Pakej diberikan amat berpatutan dan semuanya diuruskan Pejabat Kadi, tanpa perlu peserta mengeluarkan kos lebih bagi mengadakan majlis perkahwinan sendiri," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pentadbir Tanah Daerah Kluang, Mustafa Kamal Shamsudin dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang, Md Norhalim Md Amin.
Lima bulan kenal terus kahwin
Sementara itu pasangan pengantin baharu, Ahmad Paizul Nasir, 36, menyifatkan perkahwinannya sangat unik kerana dia hanya mengenali isterinya, Aiza Dawam, 34, selama lima bulan menerusi ruangan laman sesawang Ikhtiar Jodoh Islam Malaysia (IJIM).
Ahmad Paizul berasal dari Sungai Sayong berkata, perkenalannya bersama isteri sangat pantas, apabila pertama kali berjumpa tahun lalu tetapi membuatkannya terus terpikat.
Katanya, pertemuan kali pertama itu menggerakkan hatinya untuk terus mengenali lebih rapat dengan ibu bapa pasangannya.
"Saya hanya berjumpa sekali sahaja dengan isteri. Pertemuan kali kedua berjumpa dengan ibu bapanya, dan terus melamar.
"Apabila terbaca pakej perkahwinan bajet dibuat Pejabat Kadi Kluang melalui Facebook, saya tanpa berfikir panjang terus mengisi borang penyertaan," katanya.
Ahmad Paizul berkata, dia amat berterima kasih kepada Pejabat Kadi Kluang kerana membantu meringankan bebannya, selain program dianjurkan memberikan kenangan terindah untuk pasangan pengantin terlibat.