DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Mungkin perumpamaan itu sesuai ditujukan buat aktres terkenal, Emily Blunt.
Siapa sangka, di sebalik wajah jelitanya itu, pemilik nama penuh Emily Olivia Leah Blunt ini pernah menghadapi gangguan dalam kelancaran pertuturan atau gagap ketika di zaman kecilnya.
Malah, Blunt memilih untuk berhenti bercakap lantaran malu dengan penyakitnya ketika menginjak usia 12 tahun.
"Kelemahan bertutur bermula ketika saya berusia tujuh tahun. Masalah itu semakin memuncak sewaktu usia meningkat remaja.
"Jujurnya, saya sangat merendah diri apatah lagi saya juga tidak faham kenapa saya perlu alami masalah seperti ini.
"Saya kecewa kerana saya mahu bercakap dan saya tidak mahu tertinggal satu perkataan pun,” katanya.
Pun begitu, nasibnya begitu baik apabila ada seorang guru menasihatkan Blunt untuk belajar berlakon, sekali gus meyakinkannya bidang itu mampu menghilangkan penyakit yang dideritainya itu.
"Guru tersebut sarankan saya masuk ke kelas lakonan. Katanya, adakah saya ingin cuba bercakap dalam aksi yang berbeza?. Dan, memang betul, dengan menjadi orang lain, saya boleh mengatasi masalah gagap saya," katanya.
Pelakon berusia 33 tahun ini akhirnya berjaya mengatasi masalah gagapnya apabila tampil dalam drama di sekolahnya.
"Buat pertama kalinya, saya dapat berbicara dengan lancar dalam masa yang lama," katanya.
Pada masa sama, Blunt mengakui tidak pernah terfikir untuk menceburi bidang lakonan.
"Saya tidak sangka akan memiliki karier yang menuntut saya untuk terus bercakap dengan lancar. Tapi, di sinilah saya," katanya.
Diberi kepercayaan
Mula mencipta nama menerusi filem pecah panggung, The Devil Wears Prada (2006) menjadikannya salah seorang generasi baharu yang mampu bertahan lama dalam industri hiburan Hollywood.
Namanya dalam dunia lakonan Hollywood semakin melonjak naik dan mendapat pelbagai pujian.
Antara filem lakonannya adalah The Jane Austen Book Club (2007), Charlie Wilson’s War (2007), Sunshine Cleaning (2008), Curiosity (2009), Gulliver’s Travel (2010), The Muppets (2011), Looper (2012), Arthur Newman (2013), Edge of Tomorrow (2014), Into The Woods (2014), dan Sicario (2015).
Semakin lama, Blunt semakin dipercayai untuk menggalas watak berat. Lihat saja dalam filem perisikan, Sicario, yang mana Blunt ternyata cemerlang melakonkan watak pegawai FBI, Kate Macer.
Namun, Blunt mengakui lebih berdebar dan tercabar menjayakan watak Rachel Watson dalam filem adaptasi, The Girl On The Train yang dijangka ditayangkan akhir tahun ini.
"Setakat ini, watak itu paling mencabar. Saya sangat suka dengan ketagihan, kesunyian, suka jaga tepi kain orang, apa yang kita fikir kita nampak, tapi kita tak nampak pada watak itu," katanya.
Ratu Ais
Dalam perkembangan lain, Blunt bakal tampil dalam filem bergenre fantasi, The Huntsman: Winter’s War.
Selain Blunt, filem itu kembali dilakonkan oleh aktor kacak, Chris Hemsworth dan Charlize Theron, Jessica Chastain, Sam Claflin dan Nick Frost.
Oleh kerana filem itu merupakan prekuel daripada filem Snow White and The Hunstman, maka khidmat pelakon utamanya, Kristen Stewart tidak diperlukan.
Dalam filem arahan Cedric Nicholas-Troyan, Blunt membawakan watak Freya iaitu Ratu Ais.
"Karakter Freya diinspirasikan daripada nama seorang Dewi yang erat hubungan cinta, sihir dan kematian," katanya.
The Hunstman: Winter’s War mengisahkan Ratu Jahat Ravenna yang mengkhianati adiknya, Freya seterusnya menyebabkan Freya berundur ke sebuah negara di utara. Dengan hatinya tidak lagi boleh menyayangi, Freya memberi arahan supaya pemburu elitnya tidak jatuh cinta. Apabila kedua-dua ratu mula bertempur untuk mendominasi, pemburu elit Eric dan rakan seperjuangannya, Sara, adalah wira di antara kedua-dua ratu itu.
Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam pada 14 April 2016.