Sunday, March 27, 2016

Janna Nick, Juzzthin & Zooey Pengacara Muzik-Muzik 31



Bunkface ketika membuat persembahan pada Showcase Muzi-Muzik 31 di Hard Rock Cafe pada Khamis. 
PETALING JAYA: Tiga muka baharu iaitu Janna Nick, Juzzthin, dan Zooey diperkenalkan sebagai pengacara baharu program hiburan Muzik Muzik 31 bersama Fizie (Hot FM) dan Fara Fauzana.
Penerbit Eksekutifnya, Nurul Huda Khalid berkata, pemilihan itu adalah bagi memberi peluang kepada artis baharu untuk menimba pengalaman dalam bidang pengacaraan.

"Kami memilih penyanyi rap Juzzthin, pelakon Janna Nick dan pengacara baru Zooey untuk memberi peluang kepada mereka mengendalikan program ini.

"Mereka telah melalui satu uji bakat terlebih dahulu dan kami melihat kebolehan mereka untuk bercakap di hadapan kamera terutamanya pada program yang bersiaran secara langsung," ujarnya.
Dari kiri Janna Nick, Juzzthin dan Zooey, pengacara baharu Muzik-Muzik 31.
Nurul Huda ditemui pada Showcase Muzik Muzik 31 yang diadakan di Hard Rock Cafe, di sini, Khamis.
Tambah Nurul Huda, sudah tiba masanya untuk pihaknya memberi peluang kepada muka baharu menunjukkan bakat mereka dalam bidang pengacaraan.

"Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada muka-muka lama yang sudah popular, sampai masanya untuk kita cungkil dan beri peluang kepada yang baharu.

"Tentang pemilihan Juzzthin dan Janna Nick yang turut mempunyai lagu baharu, saya rasa ia tidak ada masalah berikutan mereka tidak terlibat dengan pemilihan lagu dalam carta," ujarnya.

Sementara itu, Nurul Huda berkata, konsep baharu iaitu Showcae Muzik Muzik 31 dianjurkan sebagai platform untuk memilih lagu terbaik setiap bulan.

Asfan Shah.
Katanya, ia merupakan satu inisitif untuk mempercepatkan dan meringkaskan pemilihan 12 finalis ke Anugerah Juara Lagu 31 kelak.
"Lagu-lagu yang mendapat tempat kelima teratas dalam carta Muzik Muzik bulanan akan menyertai Showcase Muzik Muzik 31.

"Pada akhir Showcase Muzik Muzik 31, satu lagu terbaik dan berkualiti akan mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik," ujarnya.

Tambah Nurul Huda, program itu juga sebagai salah satu cara untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan program Muzik Muzik yang pernah menjadi rancangan nombor satu diminati.

Pada Showcase Muzik Muzik 31 yang pertama ini menyaksikan lima buah lagu iaituSeindah Mimpi nyanyian Jaclyn Victor, Semua Tentang Kita (Asfan Shah), Hati Hati (Amira Othman), Aku Tahu (Tomok & Altimet) dan Darah Muda (Bunkface).

Pemenang akan diumumkan pada siaran pertama Showcase Muzik Muzik 31 yang bersiaran setiap Ahad hujung bulan bermula 27 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: