MENERUSI judulnya sahaja, pasti mengingatkan kita kepada Ujang, panggilan simbolik kepada lelaki-lelaki di Negeri Sembilan.
Mengangkat kisah Ujang itu sendiri, teater muzikal mendapat ilham daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Datuk Seri Utama Arshad Ayub ini mengambil latar belakang adat, azam dan angan di kalangan masyarakat Minang Negeri Sembilan sebagai plot utama.
Di bawah penganjuran Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa Mahasiswi Negeri Sembilan (Pemanis), teater muzikal yang berlangsung pada 25 hingga 27 Mac lalu di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya ini berkisarkan seorang pemuda kampung Ujang, yang kecewa kerana pinangannya terhadap kekasih hati, Milah ditolak kerana dia tidak berharta dan tidak mempunyai pekerjaan.
Sebaliknya, keluarga Milih memilih menerima pinangan Samad yang lebih berada dan berpelajaran.
Bagaimana pun, Milah masih mempunyai hati terhadap Ujang. Setelah mendapat tahu mengenai perkara itu, Samad berang dan memfitnah Ujang.
Ujang yang makan hati, meninggalkan kampung halaman dan nekad mengubah hidupnya menjadi lebih baik.
Mengimbas mengenai pementasan teater muzikal ini, ia merupakan satu kelainan apabila pihak penganjur memilih untuk mementaskan karya berunsurkan masyarakat Minang Negeri Sembilan ini.
Menggunakan plot ringkas dan beberapa pelakon utama sahaja, teater muzikal ini bagaimana pun berjaya menghiburkan hati penonton.
Ini kerana, bukan kerana selingan lagu-lagu popular Ally Noor dan Mastura yang disusun, sebaliknya penceritaan kisah Ujang bersama emak dan rakan-rakannya meninggalkan impak yang cukup mendalam.
Tidak memerlukan pelakon tersohor, cukup dengan sentuhan Marlenny Deenerwan (Pensyarah Jabatan Drama PKUM) dan Abdullah Reza yang merupakan alumni PKUM, lakonan mereka berjaya menghidupkan perjalanan teater muzikal ini.
Marlenny misalnya, lontaran vokalnya benar-benar menggambarkan dia menjiwai watak seorang emak.
Lebih menyentuh perasaan, apabila emak kesal dengan tindakan Ujang yang memalukan dirinya begitu menyerlah dan diinterpretasikan dengan baik oleh Marlenny.
Sementara Abdullah pula, sebagai Ujang, dia juga wajar dipuji, ini kerana gayanya yang bersahaja menjayakan karakter tersebut.
Tidak menumpukan kepada pelakon utama sahaja, watak lain seperti Minah dan Samad juga direalisasikan dengan baik oleh pelakonnya.
Secara keseluruhan, mesej hendak disampaikan menerusi teater muzikal ini berjaya disampaikan dengan baik.
Ia juga menampilkan sisi hiburan menerusi elemen komedi diselitkan kepada penonton sehingga membuatkan mereka tertawa.
Seramai 80 tenaga artistik dan pengurusan terdiri daripada pensyarah-pensyarah, pelajar-pelajar dan ahli alumni PKUM terlibat bagi pementasan ini.
Kuasai loghat Negeri Sembilan
Dalam pada itu, sebagai pengarah teater ini, Dr Rosdeen Suboh berkata, dia cukup berbangga dengan barisan pelakon yang menjayakan teater ini.
"Antara semua pelakon terlibat, hanya Abdullah sahaja anak jati Negeri Sembilan, sebaliknya pelakon lain tidak berasal dari negeri itu.
"Bagaimana  pun, saya cukup berpuas hati kerana mereka berjaya menguasai loghat Negeri Sembilan ketika pementasan itu berlangsung.
"Mungkin bagi anak Negeri Sembilan, mereka akan nampak kekurangan daripada aspek loghat itu, tetapi kesungguhan pelakon mencuba terbaik sudah cukup memastikan pementasan ini berjalan lancar," katanya.
Selain dialek Negeri Sembilan, teater ini menampilkan kelainan dengan menyelitkan elemen pergerakan pencak Randai.
"Randai berkait rapat dengan masyarakat Minang, tanpa randai pementasan ini mungkin nampak tidak seimbang.
"Apa saya lihat, elemen itu sedikit sebanyak menjadi tarikan kepada Jang Oh Jang. Ini kerana, bagi mereka yang tidak tahu apa itu Randai, dengan menonton teater muzikal ini, mereka akan dapat pengalaman serta pengetahuan baharu," katanya.
Berkongsi mengenai lagu Ally Noor dan Mastura seperti, Alahai Anak Omak dan Apa Kono Eh Jang, yang diberi nafas baharu, kata Rosdeen, pengubahsuaian terhadap lagu tersebut hanyalah untuk disesuaikan dengan jalan cerita.
"Kita kaitkan lagu dengan plot yang dipentaskan. Ia bagi memudahkan penonton memahami sedikit sebanyak berlaku kepada Ujang, emak serta orang kampung," katanya.
Pada masa sama, teater muzikal ini menguji kemampuan pelakon dalam menguasai loghat, muzik Negeri Sembilan dan kecekapan mereka mengawal pergerakan Randai.
Bayangan Milah
Dalam pada itu, bagi yang menonton Jang Oh Jang, pasti mereka tercari-cari di manakala watak Milah.
Jika diperhatikan, hanya di babak terakhir teater muzikal ini, seorang budak perempuan muncul untuk mengikut Ujang yang akan meninggalkan kampung halamannya.
Menurut Rosdeen, sebenarnya watak Milah tidak wujud sepanjang pementasan itu.
"Di Negeri Sembilan, Milah umpama seorang wanita yang memberikan semangat kepada mereka.
"Sama seperti plot teater muzikal ini, kita tutup watak Milah, tetapi sepanjang masa, Ujang bercakap mengenainya. Ia sebagai satu bayangan yang mana, Milah menjadi inspirasi kepada Ujang. Kerana Milah, dia berubah dan menjadi lebih baik.
"Bagaimana pun, terpulang kepada penonton itu sendiri untuk menggambarkan kewujudan Milah itu. Sama ada Milah hanya bayangan Ujang sahaja atau nyata, hanya penonton boleh membuat tanggapan," katanya.
Tambahnya, Milah bukan hanya Milah tetapi juga lambang wanita Negeri Sembilan.
"Kerana itu, Ujang ada katakan, saya balik bukan kerana Milah sahaja, tetapi emak juga... Ia membuktikan, seorang wanita menjadi kekuatan kepada masyarakat di sini," katanya.
Ekspresikan watak
Sementara itu, bagi Marlenny Deenerwan dan Abdullah Reza sendiri, kemampuan mereka menjayakan watak emak dan Ujang tidak dijangka kedua-duanya.
Kata mereka, oleh kerana karya itu sinonim dengan orang Negeri Sembilan, ia sangat mencabar mereka.
"Bukan mudah memainkan karakter tersebut, bimbang mendapat respons tidak baik.
"Bagaimana pun, kami gembira kerana audiens memberikan tepukan gemuruh sepanjang pementasan," kata mereka.
Sebagai anak Negeri Abdullah turut berbangga kerana karya seperti itu diangkat.
"Seronok apabila nilai-nilai masyarakat Negeri Sembilan dipaparkan seperti ini.
"Secara tidak langsung ia mengangkat martabat orang Nogori," katanya.