SELEPAS mengendalikan beberapa program berunsur islamik, kini Mizz Nina buat kali pertamanya bakal tampil sebagai hos menerusi sebuah lagi rancangan baharu berjudul Into Taqwa With Mizz Nina yang bakal bersiaran setiap Ahad, jam 2.00 petang bermula 20 Mac ini menerusi siaran TV Alhijrah.
Apa yang menariknya, ia adalah rancangan temu bual pertama yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Berkongsi pengalaman kali pertama bergelar hos, pemilik nama sebenar Shazrina Azman, 36, ini memberitahu idea ini adalah cetusan daripada pihak stesen TV Alhijrah yang bekerjasama dengan organisasi Into Taqwa.
“Alhamdulillah, pihak stesen televisyen memberi saya peluang untuk mengemudinya sebagai hos. Selalunya saya yang akan di temu bual, tapi kali ini ia berbeza.
“Program ini adalah cetusan idea daripada TV Alhijrah sendiri dan ia melibatkan organisasi Into Taqwa di mana saya sebagai dutanya.
“Untuk pengetahuan semua, Into Taqwa sebenarnya telah aktif sejak beberapa tahun lalu dengan aktiviti dakwah di seluruh Malaysia terutamanya di Sabah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Into Taqwa With Mizz Nina di Talent Lounge, Damansara Perdana, kelmarin.
Memandangkan inilah kali bergelar hos, Nina akui masih banyak perkara yang perlu diperbaikinya.
"Sebagai seorang yang baharu dalam bidang pengacaraan, cabaran utama bila saya harus mendengar arahan pengarah sambil menemu bual panel jemputan.
“Jadi dalam situasi itu, saya harus sentiasa peka dengan apa yang berlaku sepanjang rancangan tersebut dirakamkan.
“Selain itu, sepanjang menjalani proses rakaman, saya tidak mahu ia juga mengganggu tuntutan saya untuk menunaikan solat tepat pada waktunya kerana itulah keutamaan saya. Insya-Allah, saya akan lebih menyesuaikan diri,” ujarnya yang sedang merancang untuk mengeluarkan sebuah album puisi yang dijangka dilancarkan tahun ini.
Selain mengetengahkan Nina sebagai hos, Into Taqwa With Mizz Nina turut menampilkan barisan tokoh Islamiah seperti Sheikh Daood Butt, Muslim Belal, Sheikh Issam Rajab, Haleh Banani dan Dr. Mona Yati Md Kassim dalam mengupas isu-isu yang diketengahkan.