CUACA panas yang melanda Malaysia pada ketika ini membuatkan orang ramai sering mendapatkan minuman atau aiskrim untuk membasahkan tekak dan menghilangkan dahaga.
Disebabkan itu, permintaan terhadap aiskrim semakin meningkat sehingga mendorong ramai orang menjual aiskrim bak cendawan tumbuh selepas hujan.
Antara pelbagai jenis aiskrim yang dijual di pasaran, aiskrim Malaysia dilihat lebih menonjol dari segi permintaannya kerana harganya yang murah dan sedap, selain menjanjikan pulangan lumayan kepada peniaga.
Namun sayangnya, perniagaan aiskrim Malaysia dilihat masih belum berkembang kerana ia kebanyakannya dijual orang perseorangan, peniaga kecil atau hanya di kedai runcit.
Sedangkan, aiskrim Malaysia sebenarnya mempunyai potensi yang besar untuk dikomersialkan bukan sahaja di negara ini, malah ke luar negara dengan pelbagai pilihan perisa dan pembungkusan lebih menarik.
Terima jika ada pembekal
Kedai runcit sedia terima dan menjual aiskrim Malaysia sekiranya ada peniaga yang sudi menjadi pembekal untuk dijual di kedai.
Pembantu kedai runcit, Shaik Amani Sheik Adam, 35, berkata, tiga tahun lalu kedai runcit itu ada menerima bekalan aiskrim Malaysia daripada peniaga orang kurang upaya (OKU).
"Tujuannya adalah untuk membantu dia menjana pendapatan.
"Dia menghantar aiskrim dua kali seminggu dengan purata jualan sebulan 160 batang aiskrim seminggu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui baru-baru ini.
Menurutnya, sambutan sangat menggalakkan daripada pembeli dari kawasan sekitar dan sentiasa habis dijual kerana  menjual pelbagai perisa antaranya asam boi, oren dan strawberi.
Bagaimanapun, jualan aiskrim Malaysia berhenti selepas setahun kerana pembekal itu telah meninggal dunia.
Sehingga kini, Shaik Amani berkata, kedai runcit yang telah beroperasi sejak 20 tahun lalu itu tidak menerima bekalan aiskrim Malaysia.
"Jika ada yang mahu kami bantu jual dan meletakkan di kedai, kita mengalu-alukan," katanya.
Mengulas lanjut berhubung harga aiskrim Malaysia, Shaik Amani berkata, dahulu mereka menjualnya dengan harga serendah 40 sen sebatang.
"Jika kami menjualnya sekali lagi, mungkin kali ini harga akan tetap sama atau lebih tinggi bergantung kepada saiz aiskrim tersebut," katanya.
Berikutan viral aiskrim Malaysia itu di laman sosial kebelakangan ini, Shaik Amani berkata, jualan plastik aiskrim semakin meningkat.
Menurutnya, jualan sangat ketara peningkatannya dan permintaan sangat tinggi berbanding dahulu.
"Sebulan saya boleh jual purata 200 bungkus plastik dengan harga RM2 sebungkus.
"Kebanyakan individu yang membeli plastik aiskrim ini akan membuatnya sendiri sama ada untuk diri sendiri dan keluarga atau dijual di kawasan sekitarnya," katanya.