Friday, February 26, 2016

‘Sini ada makan percuma’




‘Sini ada makan percuma’
Makanan yang disediakan sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.
BUKIT CHANDAN - Pendedahan seorang mahasiswa koyak usus disebabkan menahan lapar mendapat reaksi pelbagai dari segenap lapisan masyarakat.
Ada yang menyalahkan mahasiswa terbabit kerana tidak berhubung dengan pentadbiran universiti, malah ada yang meletakkan semua kesalahan kepada universiti kerana tidak peka dengan situasi tersebut.
Fenomena tuding-menuding serta salah-menyalahkan itu berterusan sehingga beberapa minggu sebelum isu tersebut ditenggelami dengan perkara lain.
Namun, tidak dapat dinafikan mahasiswa kerap mengikat perut kerana mereka tidak mempunyai cukup wang bagi membeli makanan dan keperluan lain.
Menyedari kepayahan dihadapi pelajar, Team Makanan Sedekah dari Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (Kuisas) mengambil inisiatif menyediakan makanan percuma kepada mahasiswa kolej berkenaan.
Pengerusinya, Mohamad Azmeer Mohd Fouzi berkata, program tersebut bermula awal tahun 2015 lantaran melihat situasi pelajar yang terpaksa ikat perut demi kelangsungan hidup di Kuisas.
Menurutnya, mereka mendapatkan dana dengan bertemu staf serta pelajar pada setiap minggu dan wang tersebut digunakan untuk penyediaan makanan.
“Kita buat projek makanan sedekah ini dua kali seminggu dan sambutan daripada pelajar sangat menggalakkan.
“Biasanya, kami menyediakan sehingga 200 bungkus nasi lemak atau roti. Selalunya, memang semuanya akan habis.
“Ini merupakan usaha kecil kami membantu pelajar yang menghadapi masalah kewangan terutamanya pada hujung semester,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Team Makanan Sedekah, Nur Suliana Abdul Razak berharap lebih ramai pihak menyumbang dana dan makanan bagi memastikan ia dapat diteruskan.
Katanya, projek itu akan terus dijalankan selagi mereka mendapat dana dan berharap lebih banyak makanan dapat disediakan pada masa depan.
“Jika diberi rezeki lebih, kami berhasrat menyediakan lebih banyak makanan dan mempelbagaikan jenis makanan untuk pelajar.
“Diharap usaha ini mendapat sokongan semua pihak dan ia akan diteruskan meskipun sebahagian daripada kami mungkin tamat belajar nanti,” katanya.
Kebanyakan pelajar ditemui memuji inisiatif tersebut dan berharap ia mampu diluaskan lagi agar lebih ramai pelajar mendapat manfaatnya.
Pelajar, Farhan Syahmi Nazari, 22, berkata, ramai rakannya terpaksa berlapar kerana tidak cukup wang dan ia sedikit sebanyak mengganggu fokus mereka dalam kelas.
“Dengan adanya program sebegini, diharap tiada lagi pelajar pergi ke kelas dalam keadaan lapar kerana terpaksa jimatkan wang yang ada.
“Usaha-usaha sebegini wajar diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada ramai pelajar,” katanya.
Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi pelajar, Muhammad Hazim Muhd Fauzi, 21, yang gembira kerana projek itu membantu pelajar sepertinya mengisi perut sebelum ke kelas.
“Isu kekurangan wang melibatkan pelajar bukanlah perkara baru kerana ia terjadi kepada kami setiap semester. Berjimat sudah berjimat namun masih belum cukup.
“Bila ada makanan percuma sebegini, ia membantu kami jimatkan wang. Jadi, wang yang ada boleh kami beli barangan lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: