Friday, February 26, 2016

Perlawanan Bola Sepak 50 Artis Untuk Yus (Jambu)




Gambar kenangan Allahyarham Yus (Jambu - berdiri tiga dari kiri) bersama rakan-rakan yang menyertai Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC). 
PETALING JAYA: Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) yang disertai lebih 50 selebriti akan mengadakan Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Selebriti/ All Stars 2016 bagi mengumpul sumbangan untuk keluarga Allahyarham Yus (Jambu).

Wakil kelab itu, Danny (X-Factor)  berkata, perlawanan itu akan diadakan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini 29 Februari (Isnin) ini, pukul 8 malam yang akan menghimpunkan kira-kira 50 artis tanah air.

"Misi perlawanan ini ialah untuk mengeratkan hubungan sesama artis selain bagi mengutip sumbangan untuk diberikan kepada keluarga Allahyarham pelawak Pak Yus,” katanya kepada mStar Online.

Sebahagian daripada ahli Kelab Sukan Artis Malaysia (MASC) yang akan menyertai perlawanan bola sepak pada Isnin ini.

Selain Danny sendiri antara artis yang terlibat dalam kejohanan itu ialah Syed Aiman,  Achey dan Fad (Bochey), Zahid, Aweera, Aidit Marcello, Fizo Omar, Datuk AC Mizal, Black Hanifah, Kamal Adli, Sabhi Sadhi dan juga Suria FM All Star FC.

Katanya, kejohanan itu juga adalah satu tribute sebagai mengenangkan penglibatan Yus dalam kelab berkenaan.

"Allahyarham Pak Yus antara artis yang pernah menyertai MASC mewakili kumpulan Raja Lawak United yang ditubuhkannya.

"Menerusi kejohanan kali ini, kami terpanggil untuk menganjurkan satu perlawanan berkonsep amal selain mengeratkan hubungan dengan peminat,"  katanya.

Ujarnya, orang ramai yang menyaksikan perlawanan itu bukan sahaja boleh beramah mesra dengan artis yang hadir malah mereka juga boleh membuat sumbangan peribadi bagi tujuan berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: