Tuesday, February 23, 2016

Hafaz lima juzuk al-Quran sehari



Hafaz lima juzuk al-Quran sehari
Mohamad Omar (kiri) dan Farihah dinobatkan johan dalam Pertandingan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-37.
IPOH - Menghafaz lima juzuk al-Quran sehari merupakan antara resipi kejayaan Farihah Zulkifli, 21, merangkul gelaran johan hafizah bagi kategori satu hingga 30 juzuk pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan kali ke-37.
Farihah yang juga pelajar di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu, Selangor berkata, doa daripada ibu bapa, guru dan sahabat turut menjadi pendorong kepada kejayaannya.
“Selain itu, saya turut menjaga aspek pemakanan termasuk mengambil makanan sunnah,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup pertandingan itu di sini yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurutnya, dia akan berusaha dengan lebih gigih selepas terpilih mewakili negara pada pertandingan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung Mei depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
“Saya harap akan lakukan yang terbaik serta pada masa yang sama tetap mengharapkan doa dari semua untuk beroleh kejayaan di sana nanti,” katanya.
Manakala, johan hafiz bagi kategori sama Mohamad Omar Mansu, 21, berkata, ketenangan semasa di atas pentas dan mendengar dengan teliti soalan yang diajukan juri adalah faktor penting untuk memastikan bacaan menjadi lancar.
Pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) Kuala Ketil, Kedah yang bercita-cita menjadi pensyarah itu turut mendedikasikan kemenangan itu kepada ibu bapa dan guru yang pernah mendidiknya.
“Terima kasih kepada mereka semua yang banyak membantu dan membolehkan saya mengecap kejayaan ini,” katanya.
Mohamad Omar dan Farihah masing-masing menerima pakej menunaikan haji, wang tunai RM10,000, piala iringan, cenderamata dan sijil penyertaan.
Sementara itu, johan hafiz bagi kategori satu hingga 20 juzuk milik Syazri Muhammad Husni Mohd Shahroni dari Selangor yang juga muncul peserta terbaik, manakala johan hafizah bagi kategori sama diraih wakil Kelantan, Putri Aminah Mohd Hanif.
Kedua-dua mereka membawa pulang pakej umrah, wang tunai RM6,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan.
Bagi kategori satu hingga 10 juzuk pula, juara hafiz milik Ahmad Aidil Luqman Nor Ismail, sementara Fakhira Izzah Fahmi muncul johan hafizah. Kedua-dua wakil Selangor itu membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala iringan, cenderamata serta sijil penyertaan.
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada semua hafiz yang menyertai pertandingan manakala hadiah bagi hafizah disampaikan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Terdahulu, seramai 78 peserta menyertai Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-37 yang berlangsung bermula pada 16 sehingga 20 Februari lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: