Thursday, January 28, 2016

'Tak menyesal tinggalkan bengkel'




'Tak menyesal tinggalkan bengkel'
Azlan memeriksa cili di kebun fertigasi yang dilengkapi Sistem Pelindung Hujan di Kampung Alor Pasir.
PASIR PUTEH - Selepas mendapat maklumat yang jelas mengenai pertanian menerusi internet, mekanik pendingin hawa kereta akhirnya nekad menceburi bidang tersebut.
Azlan Abdullah, 45, ditunjukkan jalan oleh Pejabat Pertanian Jajahan Pasir Puteh untuk merintis bidang tersebut dengan menjadi peserta Program Fertigasi Rakyat.
Katanya, dengan bantuan sepenuhnya jabatan berkenaan, dia mengusahakan penanaman 500 pokok cili kulai secara fertigasi berhampiran rumahnya di Kampung Alor Pasir, dekat sini.
“Saya juga diberikan kemudahan Sistem Pelindung Hujan yang menyelamatkan tanaman dari menerima hujan berlebihan pada musim tengkujuh,” katanya.
Menurutnya, dorongan berterusan daripada jabatan tersebut juga membolehkan dia mengusahakan tanaman cili fertigasi terbuka secara berkelompok bersama empat peserta lain.
Bapa kepada anak berusia tujuh hingga 13 tahun itu berkata, projek berkelompok itu membabitkan 10,000 pokok cili dalam kawasan yang disewa seluas 0.8 hektar.
“Projek ini dimulakan sejak September 2015 yang mana cili dijual kepada pemborong secara purata RM7 sekilo, jika berjalan baik ia boleh jana pendapatan RM66,500 setahun.
“Saya mula yakin dengan pertanian dan tak menyesal tinggalkan ‘bengkel’ walaupun pendapatan saya peroleh ketika ni hanya sebanding pendapatan lama,” katanya.
Azlan berkata, dia akan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk projek akan datang bagi meningkatkan hasil kerana setiap pokok sepatutnya mengeluarkan empat kilogram cili berbanding lebih dua kilogram ketika ini.
Bagaimanapun, dia bersyukur dengan pendapatan sekarang dan berbangga kerana projek secara berkelompok itu juga memberi peluang pekerjaan kepada golongan wanita di sekitar kawasan tersebut.
Seorang pekerja, Munah Ali, 55, dari Kampung Gong Nangka ketika ditemui berkata, dia bekerja di kebun cili itu hanya dua hari dalam seminggu tapi ia cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Katanya, dia bersama lima lagi pekerja mengutip hasil, mengasingkan cili dan membungkus dari jam 8 pagi hingga 3 petang.
“Pendapatan bergantung pada hasil yang dikutip, apa yang penting adalah menyediakan hasil yang baik sebelum dihantar kepada pemborong,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: