Thursday, January 28, 2016

Reen Rahim: Kahwin tiga tahun lagi



Reen Rahim: Kahwin tiga tahun lagi
Reen Rahim
MESKIPUN mengakui sudah mempunyai kekasih hati, pelakon Reen Rahim bagaimanapun meletakkan sasaran untuk menamatkan zaman bujangnya pada usia 30 tahun.
Kata pelakon berusia 27 tahun itu, situasi itu diambil lantaran dirinya kini terlalu sibuk dengan kerjaya lakonannya.
"Kekasih saya bukanlah orang dalam industri, lagipun kami sudah lama berkawan.
"Insya-ALLAH, jika ada jodoh, kami akan berkahwin. Tapi, tunggulah umur saya mencecah 30 tahun. Sekarang ini muda lagi. Nak kumpul duit dulu," katanya kepada Zass.
Menyentuh mengenai kerjayanya, Reen atau nama sebenarnya, Noreen Ashikin Abdul Rahim berazam meluaskan lagi bakat yang ada selepas hampir empat tahun bergelar anak seni.
Oleh itu, bagi merealisasikannya, pelakon filem Mirip ini mendedahkan ada mengikuti kelas pengucapan awam.
"Setakat ini, memang saya agak sibuk dengan kerjaya lakonan.
"Saya ambil kelas pengucapan awam itu bukan bermakna sudah ada tawaran mengacara untuk saya,
"Tetapi, jika ada rezeki untuk mengacara, sekurang-kurangnya saya sudah bersedia malah, punya keyakinan diri untuk bercakap di khalayak," katanya.
Pada masa sama, Juara Pilih Kasih 3 ini turut berpeluang mengasah bakatnya dalam bidang nyanyian.
"Selain membintangi filem Soulmate, saya diberi peluang menyanyikan lagu runut bunyi (OST) bagi filem tersebut.
"Saya akui selalu berkaraoke, tapi ia tak sama apabila disuruh menyanyi. Agak seram jugalah," katanya sambil tertawa.
Dalam pada itu, Reen turut mencari peluang menjalankan perniagaan.
Katanya, perniagaan yang bakal diusahakan ini merupakan jalan alternatif untuk menjamin masa depan.
“Saya memang sudah lama merancang untuk mempunyai perniagaan sendiri, suatu hari nanti.
"Kini saya bakal mengeluarkan sebuah produk kesihatan namun, semuanya masih lagi dalam proses kajian dan penyelidikan (R&D).
"Insya-ALLAH, R&D itu dijalankan di makmal di Korea," katanya.
Dalam perkembangan lain, Reen kini sibuk dalam penggambaran filem Soulmate selain menantikan tayangan beberapa filem dan drama lakonannya seperti Balun, Motor Terbang, Jom Kahwin, Pergilah Air Mata dan Imam Dari Qairo.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: