Thursday, January 28, 2016

Qariah OKU muncul johan



Qariah OKU muncul johan
Che Minah bersama Mohd Nazri bakal mewakili jajahan Tumpat ke pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan, Februari nanti.
TUMPAT - Qariah OKU Che Minah Awang, 62, dan qari, Mohd Nazri Daud, 36, muncul johan pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Jajahan Tumpat yang diadakan di Masjid Ismaili, bandar Tumpat.
Kemenangan itu melayakkan Mohd Nazri dan Che Minah membawa pulang piala dan wang tunai RM1,000 seterusnya mewakili jajahan ini ke pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan pada Februari ini.
Che Minah berkata, ini merupakan tahun kedua dia menyertai pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Jajahan Tumpat dan nasib menyebelahinya kerana dinobatkan sebagai johan.
"Kesemua qariah hebat dan saya dapat markah sama dengan pemenang tempat kedua, Kamilah Rahman. Juri memutuskan saya sebagai johan setelah mengambil kira kelebihan markah tajwid," kata guru al-Quran yang menetap di Kampung Padang Tunjung, Pendek, Kota Bharu itu.
Sementara itu, Mohd Nazri memberitahu, selepas lima kali berturut-turut muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Jajahan Tumpat, dia mengambil keputusan berehat selama tiga tahun sebelum kembali bertanding.
"Saya cuba sekali lagi pada tahun ini dan alhamdulillah, juri memilih saya sebagai johan. Saya akan buat persiapan rapi untuk pertandingan peringkat negeri nanti.
"Walaupun pernah muncul johan Tilawah Peringkat Negeri Kelantan pada 2011, namun ia tidak memberi apa-apa kelebihan kepada saya dan persediaan tetap perlu dilakukan," katanya.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Bio Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.
Turut hadir, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Penglakan Kubor, Mat Razi Mat Ail.
Kamilah dari Kampung Pohon Buloh, Pasir Mas, muncul pemenang tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh Norazah Razanah dari Kampung Kubang Palas.
Bagi kategori qari pula, Shaary Mat Isa dari Kampung Pak Krai muncul pemenang tempat kedua diikuti Husin al-Syukri dari Kampung Padang Tembesu di tempat ketiga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: