Wednesday, January 27, 2016

Nine Belajar Aktif Media Sosial Untuk Tarik Perhatian Peminat




Nine yakin, media sosial adalah medium terbaik untuk mempromosikan diri. 
PETALING JAYA: Bekas anggota kumpulan Phyne Ballerz iaitu Nine, 33, yakin penggunaan media sosial adalah medium paling dekat untuk meraih perhatian peminat-peminat baharu sejak membuat kemunculan semula pada akhir tahun lalu.

Nine atau nama sebenarnya Mior Zulkarnain Muhammad Zamanhuri, 33, berkata, sejak tampil dengan lagu baharu Hilang Selamanya, dia mula belajar cara-cara penggunaan laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter untuk mempromosikan dirinya.

"Dari dulu lagi saya seorang yang begitu fokus pada kerja, dan tiada masa untuk aktif di media sosial.

"Tetapi saya percaya, pendekatan ini mampu menarik ramai peminat baru untuk mengenali saya dalam industri muzik kita dan kerana itu saya cuba juga mencari masa untuk kerap aktif dalam media sosial," katanya kepada mStar Online.

Nine memulakan kariernya bersama kumpulan Phyne Ballerz bersama Billy, Munir dan Beego dengan kemunculan album Monte Carlo (2002) dan Phyne Ballerz (2003).

Beberapa tahun kemudian, Nine dan Billy disatukan sebagai kumpulan dua dengan gelaran Billy Zulkarnain.

Pada tahun 2007, selepas menerbitkan tiga buah single, Hati Terluka, Talian Terputus danKembali Lagi, Billy Zulkarnain mengambil keputusan untuk berpecah dan Nine menganggotai kumpulan Ruffedge pula.

Tidak sampai setahun, Ruffedge seperti tiada hala tuju selepas syarikat rakaman yang dinaungi mereka ditutup.
Nine muncul dengan single baharu, Hilang Selamanya.
Bagaimanapun, kata Nine, memandangkan jiwanya sudah sebati dengan bidang muzik, dia tidak pernah mengalah dan selepas beberapa tahun berdiam diri, dia tampil pula sebagai penyanyi solo menerusi  lagu Hilang Selamanya.
"Saya tahu ramai yang bertanya kenama lama sangat sepi, baru nak buat kemunculan semula. Biasalah, selepas melelui kegagalan, saya risau jika karier solo  akan melukai hati sekali lagi andaikata saya gagal.

"Tetapi, bak kata orang, tak salah untuk mencuba. Apatah lagi ramai yang menyokong saya termasuklah penyanyi Anuar Zain dan Shawn Rivera (penyanyi kumpulan Az Yet) untuk muncul dengan lagu baru.

"Alhamdulillah, saya pertaruhkan Hilang Selamanyasebagai single pertama sebagai penyanyi solo," ujarnya.

Kata Nine, Hilang Selamanya merupakan ciptaan Archie Nasution dan lirik olehnya sendiri yang disifatkan sebagai definisi baru terhadap kariernya.

"Archie merupakan komposer yang hebat dan dia telah sediakan karya-karyanya untu saya pilih.

"Alhamdulillah, saya yakin Hilang Selamanya mampu menarik perhatian ramai kerana ia disifatkan sebagai sebuah kaya yang segar dan mengikut trend," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: