Wednesday, January 27, 2016

Hampir RM200,000 diperlukan



Hampir RM200,000 diperlukan
Abdul Fattah menyampaikan sumbangan kepada wakil Madrasah Haji Ibrahim untuk projek bina surau baharu di Kampung Kenerak.
TANAH MERAH - Penduduk Kampung Kenerak, dekat sini, memerlukan hampir RM200,000 bagi membina surau baharu untuk kemudahan mereka beribadah.
Penghulu Mukim Batu Hitam, Mahadi Ibrahim berkata, pembinaan surau baharu itu perlu bagi menggantikan surau lama berusia lebih 30 tahun yang kini usang.
Menurutnya, projek tersebut dijangka bermula minggu ini dengan kos pembinaan surau baharu dua tingkat itu dianggarkan RM180,000.
“Surau lama yang dibina daripada papan ini sudah usang dan kita bercadang untuk ganti dengan surau baru daripada simen (konkrit).
“Bahan binaan seperti simen dan pasir sudah dibeli. Surau baru ini akan dibina atas tapak surau lama kerana kita tidak ada tapak lain,” katanya, semalam.
Menurut Mahadi, selain solat fardu, surau itu juga digunakan penduduk untuk program keagamaan seperti sambutan Maulidur Rasul dan kuliah agama.
“Dari segi sambutan, kita tiada masalah kerana jemaah sentiasa ramai terutama setiap kali solat lima waktu,” katanya.
Sementara itu, keperluan penduduk untuk memiliki surau baharu mendapat perhatian Adun Bukit Panau, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang tampil menghulurkan sumbangan.
Penyerahan sumbangan RM5,000 itu dibuat Abdul Fattah selepas beliau hadir solat berjemaah bersama penduduk dan menyampaikan tazkirah di surau berkenaan.
“Saya amat mengalu-alukan sumbangan semua pihak bagi menjayakan projek pembinaan surau baru ini untuk kemudahan dan keselesaan penduduk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: