Monday, December 28, 2015

Tak mahu tanah kena ceroboh




Tak mahu tanah kena ceroboh
Sebahagian penduduk yang turut serta membantah kemasukan jengkaut ke kawasan perumahan mereka.
KUANTAN – Curiga dengan tindakan sebuah syarikat yang membawa masuk dua jengkaut jenis excavator ke taman perumahan, lebih 100 wakil penduduk di kawasan Indera Mahkota 15 bertindak menghalang kegiatan tersebut setelah menyedari aktiviti perlombongan bauksit akan diadakan di kawasan itu.
Malah, mereka sepakat untuk mengusir dan memberi amaran kepada pemandu dan pengusaha yang terlibat supaya tidak menerokai tanah di kawasan perumahan untuk aktiviti perlombongan bauksit.
Pengerusi Surau Ar-Rayyan, Ahmad Tarmizi Mat Rani berkata, penduduk mula meragui kehadiran jengkaut berkenaan kerana alasan diberikan itu tidak munasabah tambahan pula kawasan hutan bersebelahan dengan taman perumahannya tidak sesuai untuk projek pertanian.
“Wakil syarikat itu mengatakan kawasan hutan bersebelahan taman perumahan itu akan dijadikan projek tanaman kontan iaitu penanaman pokok kantan dan alasan ini tidak munasabah memandangkan kawasan berkenaan sering dinaiki air.
“Alasan yang mereka berikan (wakil syarikat) tidak boleh diterima dan disebabkan itu kami syak syarikat itu ingin terokai tanah di sini bagi tujuan perlombongan bauksit dan atas sebab itu kami nekad untuk menghalang aktiviti berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di taman perumahan itu yang didakwa akan dijadikan tempat bagi aktiviti perlombongan bahan mineral berkenaan.
Tiada kelulusan dikeluar PTG
Ahmad Tarmizi berkata, pihaknya menghubungi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan wakil agensi itu mengesahkan tiada sebarang kelulusan dikeluarkan pihaknya bagi menjalankan aktiviti perlombongan bauksit di kawasan berkenaan.
“Bila kita dapat penjelasan dari PTG mengenai perkara itu, kita segera pertahankan hak kita dan tidak mahu tanah di kawasan ini di ceroboh sewenang-wenangnya.
“Jadi kita minta agar wakil syarikat berkenaan berundur dan bawa keluar semua jentera yang mereka bawa sebelum sesuatu buruk berlaku.
“Kita terpaksa bertindak sedemikian kerana tidak mahu selepas aktiviti ini bermula ia akan mendatangkan masalah kepada semua penduduk di kawasan ini yang bukan sahaja menyebabkan pencemaran alam sekitar tetapi keselamatan,” katanya.
Menurutnya, dia yakin perlombongan bauksit yang ingin dilaksanakan di kawasan perumahan mereka itu adalah secara haram.
“Pengusaha boleh sewenang-wenangnya menerokai tanah tanpa sebarang kelulusan daripada pihak berwajib. Melihat kepada situasi ini penduduk perlu peka dan segera bertindak sekiranya melihat sesuatu meragukan,” katanya.
Sementara, Hamid Abdul Rahman, 56, berkata, dia agak terkejut apabila melihat dua jentera berat berada di kawasan taman perumahannya itu.
Katanya, pada mulanya dia menyangka ada kerja-kerja pembaikan di kawasan perumahan itu, namun setelah diselidik jentera tersebut sebenarnya akan digunakan untuk tujuan lain.
“Saya ada tanya wakil syarikat berkenaan, katanya projek pertanian akan diadakan di kawasan ini dan saya berasa pelik kerana kawasan itu selalu dilanda banjir.
“Kawasan yang selalu dinaiki air jarang digunakan untuk tujuan pertanian. Jadi saya syak aktiviti perlombongan akan dibuat di sini,” katanya.
Menurutnya, demi kepentingan semua penduduk kampung, mereka terpaksa bersepakat menghalau mereka daripada menjalankan aktiviti mereka.
Tindakan penduduk dipuji
Sementara itu, presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Pembela Rakyat, Mohd Shukri Mohd Ramli berkata, tindakan berani penduduk seharusnya dipuji kerana mampu menghalang aktiviti perlombongan bauksit yang akan diadakan di kawasan itu.
Katanya, penduduk di kawasan tersebut segera memberi amaran kepada wakil rakyat berkenaan selepas  mengesyaki tindakan pihak terbabit adalah bagi tujuan aktiviti perlombongan bauksit.
“Jika mereka lambat bertindak, sudah pasti mereka jadi mangsa penderitaan bauksit seterusnya. Sepatutnya inilah cara perlu dilakukan penduduk. Bukannya bila sudah kritikal baru sedar dan hendak bertindak. Ia sudah terlambat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: