Wednesday, December 30, 2015

Rezeki air pasang besar



Rezeki air pasang besar
Zairohayu dibantu kawan-kawannya mengutip botol-botol plastik yang dibawa air pasang besar di Kampung Melayu Kukup Laut.
PONTIAN - Setiap kali kejadian air pasang berlaku, kawasan sekitar rumah atas air di Kampung Melayu Kukup Laut dipenuhi dengan sampah sarap yang menjijikkan.  
Namun bagi Halimah Tahar, 42, dia sanggup meredah ' lautan sampah' yang berbau busuk itu demi mencari botol-botol plastik bagi mendapatkan rezeki tambahan.
Ibu tunggal ini tidak merasa kekok untuk mengutip sampah di sekitar kawasan rumah atas air yang didiami, malah dia turut dibantu oleh dua orang anaknya yang berusia 10 dan 7 tahun.
“Biasanya orang menjauhkan diri ketika air pasang, tetapi saya dan anak-anak akan meredah air laut di sekitar kawasan rumah.
“Kali ini paras air pasang tidak terlalu tinggi, jadi mudah untuk saya dan anak-anak mencari botol-botol plastik. Kebiasaannya kami akan dapat tiga karung guni botol plastik,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. 
Jelasnya, walaupun hasil jualan botol plastik tidak seberapa namun dia merasa gembira kerana membantu memelihara alam sekitar dengan mengurangkan jumlah sampah yang dibawa air pasang besar.
Halimah turut memanfaatkan peluang yang ada ketika air pasang dengan mencari siput sedut dan sejenis ketam yang jarang ditemui iaitu ketam senepek.  
“Ketika musim air pasang  sejak Oktober lalu, siput sedut begitu mudah untuk ditemui. Haiwan bercangkerang itu akan memanjatkan pokok bakau belakang rumah penduduk di sini.
“Oleh itu, amat mudah untuk mengambil siput sedut. Namun untuk sampai ke pokok bakau, air laut perlu diredah terlebih dahulu. Lebih kurang 2 kg siput sedut dikutip setiap hari, ”katanya.
Meskipun sudah biasa berenang meredah air laut yang dipenuhi sampah, namun risiko bahaya tetap wujud terutama  dari haiwan berbisa seperti ular air dan obor-obor.
“Sukar untuk lihat haiwan-haiwan berbisa ini dengan keadaan sampah yang begitu banyak. Kita perlu berhati-hati dan memerhatikan keadaan sekeliling,” katanya.
Anaknya, Nurul Shamimi Syahirah Mohd Azman, 10, berkata, pekerjaan sambilan mengutip botol plastik seakan sudah menjadi kemestian untuk dilakukan setiap kali musim air pasang bermula.
“Saya akan menggunakan masa terluang ketika cuti sekolah ini dengan membantu ibu mengutip botol plastik.
“Hanya sampah yang dekat dengan rumah sahaja yang akan dikutip, keadaan air juga tidak terlalu dalam. Kami seronok mengutip botol plastik bersama dengan diawasi ibu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: