Friday, December 25, 2015

Redah selut demi siput sedut




Redah selut demi siput sedut
Jefri mencari siput sedut di kawasan paya bakau di Kampung Sungai Durian
PONTIAN - Permintaan tinggi terhadap siput belitung atau dikenali siput sedut menyebabkan harga haiwan bercangkerang yang membiak di kawasan hutan paya bakau ini semakin meningkat.
Harganya juga ada kala mencecah sehingga RM10 sekilogram.
Hutan paya bakau yang masih banyak terdapat di daerah ini memberi manfaat kepada pencari siput sedut.
Antara lokasi tumpuan pencari siput ialah Kampung Sungai Durian, Kukup.
Pencari siput, Jefri Zain, 35, berkata, siput akan memenuhi kawasan hutan paya bakau ketika fenomena air pasang bermula, kira-kira jam 8 pagi.
Katanya, tiada musim khusus bagi pencarian siput sedut kerana haiwan itu mudah didapati pada lumpur berselut sepanjang tahun.
“Keadaan paya bakau yang berselut sesuai untuk pencarian siput sedut, selain keadaan cuaca tidak terlalu panas dan hujan.
“Siput akan naik ke atas dahan pokok ketika air laut mula pasang, ini memudahkan siput diambil,” katanya.
Tambahnya, sekiranya rajin meredah lumpur dan selut sejauh kira-kira 30 meter dari benteng, seorang pencari siput mampu mendapat sekitar lima kilogram dalam tempoh tiga jam bergantung kepada keadaan.
“Saya cari siput dan lokan di sini sejak usia 19 tahun. Kalau dulu saya boleh cari sampai 25kg, tetapi sekarang makin kurang," katanya.
Jelasnya, setakat ini dia hanya menjual siput yang dicari kepada peraih yang kemudiannya dijual di pasar sekitar Pontian dan Johor Bahru.
“Walaupun pendapatan kecil, saya tetap jadikannya pekerjaan tetap sebab minat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: