Wednesday, December 30, 2015

Rantai emas dalam poket khas



Rantai emas dalam poket khas
Wanita Rohingya antara ditahan dalam Ops Pengemis dan Kutu Rayau oleh JKM Johor Bahru di Jalan Wong Ah Fook.
JOHOR BAHRU – Tindakan seorang pengemis warga Rohingya menyorokkan sejumlah wang sebanyak RM2,180 di dalam poket khas akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam Ops Pengemis dan Kutu Raya, di sini, tengah hari semalam.
Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, wanita berumur 40an itu antara enam yang ditahan dalam operasi berkenaan di Jalan Wong Ah Fook, kerana meminta sedekah.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan JKM menahan seorang bayi berumur tujuh bulan dan kanak-kanak berumur tujuh tahun serta tiga wanita berumur 19 hingga 50 tahun dan seorang lelaki tempatan OKU berumur 50an.
“Ketika ditahan wanita itu sedang menjual tisu dan tidak mengaku mengemis. Namun, kami percaya ia hanya taktik meraih simpati kerana dia turut meletakkan sebuah tin di mana perbuatan berkenaan menjurus kepada aktiviti meminta sedekah.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, wanita itu kelihatan cemas menyebabkan kami memintanya mengeluarkan semua wang diperoleh, dan jika enggan memberi kerjasama, pegawai wanita JKM akan membuat pemeriksaan secara keseluruhan.
“Dia akhirnya akur dan mengeluarkan sebuah poket yang  disorokkan di dalam baju. Jumlah keseluruhan wang disimpan adalah RM2,180 selain seutas rantai emas yang mempunyai resit pembelian sebanyak RM1,300,” katanya.
Sementara itu, pengemis lelaki OKU itu mengakui terpaksa mengemis kerana tinggal di sebuah rumah kebajikan berbayar milik swasta manakala jumlah bantuan bulanan am diterima RM150 daripada JKM tidak mencukupi.
Manayi berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki berkenaan dia mendakwa wang diperoleh sebanyak RM600 itu bukan duit pemberian orang ramai sebaliknya hadiah kemenangan nombor ekor.
“Kami berjaya mengesan anak lelaki berkenaan. Bagaimanapun dia dan semua yang ditahan dalam operasi berkenaan dihantar ke Rumah Seri Kenangan (RSK) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3 (2) Akta Orang Papa 1977.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: