KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 7.25 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, peruntukan agihan pendapatan itu membabitkan pembayaran RM10.41 bilion iaitu peningkatan sebanyak 4.3 peratus berbanding dengan RM9.98 bilion yang dibayar pada tahun lalu.
Sementara peruntukan bonus adalah sebanyak RM451.73 juta.
"Pembayaran itu akan memberi manfaat kepada 8.87 juta pemegang unit yang melanggan 142.54 bilion unit ASB," katanya pada majlis pengumuman agihan pendapatan ASB di sini, sebentar tadi.
ASNB tahun lalu mengumumkan agihan pendapatan 7.50 sen seunit serta bonus 1 sen seunit bagi ASB untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014.
Pengagihan itu melibatkan pembayaran RM10.16 bilion oleh ASNB, peningkatan 10.8 peratus berbanding RM9.17 bilion yang dibayar tahun sebelumnya.