Monday, December 28, 2015

Pahit manis industri hiburan pada 2015




Pahit manis industri hiburan pada 2015

EMPAT hari lagi, 2015 melabuhkan tirai. Tahun ini juga menyaksikan pelbagai kisah suka duka tercatat di dalam sejarah industri seni tahun 2015.
Dari kisah perkahwinan, penceraian, dikurniakan cahaya mata sehinggalah kematian anak seni antara yang menjadi tajuk utama.
Begitu juga dengan kejayaan filem Polis Evo terbitan Astro Shaw dan di produksi oleh Tayangan Unggul telah mencatat sejarah dunia perfileman Malaysia apabila berjaya mengutip RM17.30 juta selepas 42 hari ditayangkan di 83 pawagam seluruh Malaysia dan Brunei.
Biarpun industri perfileman dikategorikan tenat oleh sesetengah pembikin filem dek kutipan yang teruk dari awal tahun ini, filem yang diarahkan Ghaz Abu Bakar dan karya asal oleh produksi Astro Shaw iaitu Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf ini berjaya mencatat rekod sebagai filem tempatan paling laris dalam perfileman negara.
Ia sekali gus memecah rekod kutipan tiket paling tinggi dipegang filem The Journey juga terbitan Astro Shaw, yang meraih RM17.28 juta pada 2014.
Mula ditayangkan pada 17 September lalu, Polis Evo merupakan filem bergenre aksi dan memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.
Filem aksi dan jalan cerita yang mengangkat martabat anggota polis dalam kegiatan membasmi jenayah serta turut menyajikan elemen persahabatan dan kekeluargaan ini telah mencipta satu fenomena baharu sehingga berjaya menarik hati penonton untuk terus melabur di panggung.
Bukan hanya filem Polis Evo yang berjaya mencatat sejarah baharu di dalam arena perfileman, filem Lelaki Harapan Dunia juga mencatat sejarah buat team produksi dan pengarah filem berkenaan, Liew Seng Tat.
Masakan tidak, filem tersebut dua kali dinobatkan sebagai filem terbaik menerusi dua majlis anugerah berprestij.
Pertama, Lelaki Harapan Dunia dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-27 (FFM27) pada September lalu dan turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik (Liew Seng Tat), Pelakon Kanak-Kanak Terbaik (Raykarl Iskandar), Cerita Asal Terbaik (Liew Seng Tat) dan Penataan Seni Terbaik (Tunku Mohd Taufek).
Kemudian filem tersebut sekali lagi mencatat sejarah tersendiri di Anugerah Skrin apabila dinobatkan sebagai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik, November lalu.
Karya genre komedi drama daripada Everything Film itu mengisahkan beberapa kejadian malang yang menimpa sebuah perkampungan Melayu hingga mengakibatkan salah faham, tuduhan palsu dan suasana kecoh.
Bagaimanapun di arena muzik, tahun ini melihat kebanyakan artis hanya tampil dengan single dan album baharu tanpa apa-apa pencapaian hebat di luar negara seperti yang pernah dicapai oleh beberapa penyanyi kita sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: