Saturday, December 26, 2015

18 tahun Nowseeheart



18 tahun Nowseeheart
Nowseeheart
MESKIPUN pelbagai cabaran dan dugaan perlu dihadapi, ternyata nama kumpulan nasyid popular, Nowseeheart tetap utuh dalam hati setiap peminat nasyid.
Buktinya, kumpulan nasyid itu menerima sambutan yang sangat memberangsangkan melalui album keenam mereka, Katakan yang dipasarkan Januari lalu.
Kali terakhir Nowseeheart yang dianggotai empat sahabat, Mohd Huzaimi Mohd Zaini, Muhammad Sariman Abd Manap, Idzhar Jumali dan Azahari Abdul Rahman menghasilkan album 2011 berjudul Kembali.
Mewakili ahli kumpulannya, Mohd Huzaimi bersyukur di atas penerimaan peminat terhadap album tersebut.
“Alhamdulillah, kita sangat berterima kasih kerana masih ada ruang untuk berkarya.
“Paling seronok, Katakan mendapat perhatian masyarakat.
“Ia hadir dari dua generasi yang berbeza sekali gus kita turut mengumpul peminat-peminat baru,” katanya kepada Zass.
Ketika ditanya apakah rahsia kejayaan tersebut, Mohd Huzaimi meletakkannya kepada konsep yang dipegang mereka.
“Kita masih kekalkan konsep sama biarpun hampir empat tahun menyepi tanpa sebarang produk baru.
“Sememangnya, Nowseeheart lebih dikenali dengan konsep ‘pop music’ sejak berkecimpung dalam industri nasyid pada 1996.
“Malah, dalam industri nasyid sekalipun, peminat kini lebih menggemari jenis-jenis muzik yang lebih moden bahkan bersesuaian untuk semua golongan,” katanya.

Kongsi rahsia
Jika diimbas kembali, Nowseeheart merupakan salah satu kumpulan nasyid terawal dalam arena industri seni malah namanya sebaris dengan nama-nama besar lain seperti Raihan, Rabbani dan Saujana.
Ternyata, impak daripada album Katakan membuktikan Nowseeheart masih lagi bernyawa sehingga hari ini walaupun kini sudah berusia 18 tahun.
“Alhamdulillah, kami masih mampu bertahan. Kalau hendak dilihat dari segi usia, masing-masing sudah berusia akhir 30-an, sudah ‘otai’ dan tunggu masa bersara saja.
“Tetapi, apabila mengeluarkan album Katakan, kita tidak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan.
“Kita merasakan Nowseeheart masih diperlukan dalam industri nasyid ini. Jadi, selagi kita boleh berkarya dan menghasilkan produk yang terbaik dalam industri, maka kita akan melakukannya selagi mampu,” katanya.
Atas dasar tersebut, kumpulan itu merancang mengadakan konsert khas buat peminat Nowseeheart selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
“Kita tidak pernah adakan konsert solo Nowseeheart sepanjang dalam industri ini.
“Oleh itu, konsert ini khas buat peminat Nowseeheart yang banyak memberi sokongan dan galakan,” katanya.
Mencecah usia hampir 20 tahun, kata Mohd Huzaimi, kematangan Nowseeheart turut digambarkan menerusi penyampaian lirik dalam sesebuah lagu.
“Ya, memang lagu kita bersifat santai, ringan dan ‘catchy’, tetapi setiap lirik yang ditulis mesejnya agak ‘berat'. Tujuan kita supaya ia dapat diterima dan lebih penting, mesej sampai.
“Kini, kita juga ada keluarkan idea sendiri dalam penulisan lirik berbanding sebelum ini,” katanya.
Pada masa sama, Nowseeheart turut berpendapat industri nasyid kini berada di tahap stabil meskipun tidak mencapai zaman kegemilangannya seperti sebelum ini.
“Walaupun tidak berada di zaman kegemilangannya, industri nasyid masih lagi bernyawa.
“Kita tidak berada di atas dan tidak berada di bawah. Kita di tengah,” katanya.
Katanya, menjadi harapan kepada Nowseeheart mengembalikan semula zaman kegemilangan industri nasyid tanah air.

Selawat 10 Hajat
Demi merealisasikan harapan mereka, Nowseeheart tidak mengambil masa yang lama untuk melahirkan karya terbaru.
Terbaru, kumpulan itu berusaha mengajak pendengar memupuk kecintaan dan kasih sayang terhadap Nabi Muhammad SAW menerusi album Selawat 10 Hajat.
Menariknya, album itu dilancarkan sempena sambutan Maulidur Rasul 1437H lalu.
“Cinta terhadap manusia biasa tidak kekal lama, namun cinta terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW kekal abadi.
“Sejujurnya, album ini berbeza dengan album sebelum ini. Kali ini, kita banyak menggunakan alatan perkusi sesuai dengan aluan dan melodi selawat,” katanya.
Jelasnya, album itu merupakan cetakan semula untuk pasaran komersial.
“Asalnya ia menjadi modul pengisian rohani di kem motivasi dianjur Nowseeheart.
“Namun, hasil idea bersama Datuk Aidit Ghazali, kita garapannya dengan melodi dan gubahan muzik bersesuaian.
“Kita harap album ini dapat memperkasa diri setiap umat Islam supaya teguh, cekal dan tidak mudah pasrah,” katanya.
Selawat 10 Hajat menampilkan untaian selawat seperti Selawat Tenang Jiwa, Selawat Perlindungan Diri, Selawat Murah Rezeki, Selawat Menanam Kasih Sayang, Selawat Penerang Hati, Selawat Penanam Semangat, Selawat Maulidurasul, Selawat Majlis Perkahwinan dan Selawat Sembuh Sakit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: