Wednesday, November 25, 2015

Tinggal dunia glamor?



Aishah Ilias

NAMA Aishah Ilias mungkin hanya dikenali selepas membintangi drama bersiri, Cinta Ibadah, tahun lalu.
Sejak itu, tawaran demi tawaran hadir bahkan pelakon berusia 28 tahun ini turut merasakan perubahan positif dalam kariernya.
Bersyukur dengan rezeki yang ada, Aishah bagaimanapun terpaksa memperlahankan kerjaya lakonannya kerana mahu memberi fokus terhadap keluarganya, sepanjang tahun ini.
Jelas pemilik nama sebenar, Siti Aishah Ilias ini, beberapa tawaran lakonan terpaksa dilepaskan demi keluarga yang lebih memerlukannya pada waktu ini.
“Aktiviti seni saya agak perlahan tahun ini. Tidak mengapalah, kerana saya ada tanggungjawab yang lebih penting terhadap keluarga.
“Sebenarnya, ia terlalu peribadi untuk dikongsikan kepada umum. Tapi, apabila semuanya selesai, Insya-ALLAH, saya akan kembali aktif tahun depan,” katanya kepada Zass.
Tidak menyesal dengan keputusannya itu, bintang filem Paku ini menganggap ia sebagai ketentuan takdir.
“Tidak apalah, saya percaya pada rezeki yang telah ditetapkan oleh Tuhan.
“Lagipun, muka saya dah terlalu banyak keluar di televisyen hingga penonton pun bosan, tahun lalu.
“Bagus juga rasanya saya dapat berehat seketika,” katanya.
Pada masa sama, Aishah kini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan.
“Pendapatan utama saya memang di bidang lakonan, namun sekarang saya menjual baju kurung dan kebaya secara online.
“Ada juga saya letak di butik sekitar Kuala Lumpur. Alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat beri duit poket,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: