Tuesday, November 24, 2015

Linda Hashim Lelong Baju Kahwin




Baju ketika akad nikah Linda dan Beego pada 8 Jun 2013.
PETALING JAYA: Pelakon Linda Hashim mengambil keputusan menjual semua baju terpakai miliknya ketika aktif berlakon termasuk baju perkahwinannya bagi mengelakkan ia rosak apabila lama disimpan.
Linda atau nama sebenarnya Norhazlinda Hashim, 31, berkata, baju tersebut dijual dengan harga murah bagi memberi peluang kepada orang lain yang mahu memakainya.

"Bukan saya tidak sayang jual baju nikah itu, tetapi saya tidak mahu baju itu rosak begitu sahaja kalau disimpan terlalu lama.

"Jadi, lebih baik saya jual murah kepada sesiapa yang berminat untuk memakainya. Baju tersebut dibuat oleh kakak saya dan kain serta manik-manik saya beli di Indonesia, kira-kira menelan kos RM4,000 juga," ujarnya kepada mStar Online.

Kata Linda, sebelum ini, ada beberapa pihak yang bertanya dan berniat untuk membeli baju tersebut, namun dia hanya menyewakannya sahaja.

Bagaimanapun setelah memikirkan semula, lebih elok baju itu dijual kepada orang yang lebih memerlukan daripada rosak dalam simpanan.

"Sebelum ini ramai yang tanya saya dan mahu beli baju itu tetapi ketika itu saya baru sahaja berkahwin dan tidak rasa nak jual. Saya beri mereka pinjam dan sewakan sahaja.

Linda jual baju nikah di Instagram.
"Tapi bila saya fikir balik buat apa nak simpan, kalau nak tunjuk pada anak bila mereka besar nanti boleh tengok di gambar-gambar kahwin sahaja," ujarnya.

Sementara itu, Linda berkata dia turut menjual semua baju-baju yang digunakan ketika penggambaran drama.

Katanya, separuh daripada baju-baju tersebut sudah diderma kepada mangsa banjir di Kelantan tahun lalu.

"Saya baru pindah rumah, jadi saya kumpul berkotak-kotak baju lama saya ketika aktif berlakon dulu untuk dijual secara lelong sahaja.

"Baju yang elok dan sopan saya sudah derma kepada mangsa banjir, kebanyakan baju yang saya jual ini sudah tidak sesuai dipakai kerana agak seksi," ujarnya.

Dalam pada itu, Linda yang kini hamil lapan bulan berkata, dia dijangka bakal melahirkan cahaya mata kedua pada pertengahan Januari depan.

Katanya, pengalaman mengandung kali kedua ini lebih sukar dan dia sering berasa lemah badan.

"Kandungan tidak ada masalah cuma saya tidak kuat seperti mengandung anak pertama. Saya banyak duduk di rumah sahaja daripada keluar.

Badan pun sering lemah, seperti orang-orang tua kata urat banyak dah putus ketika mengandung anak pertama," ujarnya.

Linda berkahwin dengan pelakon Beego atau Mohd Aszerul Nizam Abdullah pada 8 Jun 2013 dan dikurniakan cahaya mata Jelita Clarissa pada 23 April 2014.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: