Monday, November 30, 2015

Koir Kebangsaan Malaysia Tampil Dengan Konsert Rock




Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock adalah antara inisiatif dalam usaha menyediakan peluang kepada para karyawan muzik untuk mempersembahkan karya terbaik mereka kepada masyarakat.
PETALING JAYA: Sebanyak 26 lagu rock akan digubah dan dinyanyikan oleh Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) dalam konsert yang dinamakan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock.
Konsert anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan diadakan pada 5 dan 6 Disember ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam.
Ia adalah buah tangan terbaru KKM, selepas cemerlang dalam Festival Koir Antarabangsa Bali ke-4 anjuran Bandung Choral Society dengan kerjasama International Federation for Choral Music (IFCM), yang diadakan 29 Julai sehingga 2 Ogos lalu di Sanur Paradise Plaza Hotel, Bali, Indonesia.
Menurut Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli, pada festival itu, KKM berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi tiga pingat emas dan juara bagi kategori Vokal Berkumpulan, Koir Campuran dan Championship Berkumpulan serta layak ke Grand Prix Festival Koir Kebangsan Bali ke-4 bersama 12 kumpulan lain daripada 128 penyertaan.
“Konsert ini antara inisiatif JKKN bersama Kementerian Pelancongan dan Kebuyaan dalam usaha menyediakan peluang kepada karyawan muzik untuk mempersembahkan karya terbaik mereka kepada masyarakat.
Koir Kebangsaan Malaysia bakal mempersembahkan 26 buah lagu.
“Dalam kerancakan banyak pihak luar menganjurkan pelbagai konsert artis luar, JKKN sebaliknya mengiktiraf bakat-bakat tanah air dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati bersama. Program ini satu lagi usaha JKKN dalam menyemarakkan industri seni suara tanahair,” katanya.
Ujar Norliza lagi, konsert itu juga kesinambungan daripada kejayaan beberapa siri konsert KKM anjuran JKKN sejak 2005.

Antaranya Konsert Music Makers (2010), Konsert In Love With Peace (Cintakan Kedamaian) yang telah diadakan pada tahun 2009 dan 2011, Konsert No Wrong Notes(2011), Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2009 dan 2012), Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) pada tahun 2013 dan Konsert Classique (2014).
Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock ini memaparkan repertoire berunsurkan lagu – lagu rock popular dari era 50-an sehingga kini merangkumi rangkaian lagu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Tamil dan Kantonis sekali gus mencabar kreativiti kumpulan koir itu.
“Menariknya pada konsert kali ini, KKM akan diuji dengan disiplin nyanyian yang lebih mencabar dan mengguji kemampuan kumpulan itu dalam mengalunkan vokal harmoni mereka menerusi 26 lagu rock, seterusnya menghasilkan persembahan yang berkualiti.
Konsert tersebut bakal diadakan selama dua hari.
“Program ini menjadi platform kepada bakat-bakat muda dalam bidang seni suara professional untuk mengembangkan sayap mereka ke peringkat yang lebih global dan selaras dengan perkembangan arus muzik semasa tanpa meminggirkan keaslian kumpulan koir itu sendiri,” katanya.
Antara lagu yang akan dipersembahkan, Bring Me To Life (penyanyi asal Evanescence),Hysteria (Muse), Malaysian Rock Legends ‘Isabella/Fantasia Bulan Madu/ Layar Impian/ Hukum Karma’ (Search/ Ella/Wings), medley More Than Words & Warisan Wanita Terakhir(Extreme/Teacher’s Pet), Itu Kamu (Estrange), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein),Andaiku Bercinta Lagi (Mojo).
Manakala metal medley Everything I Do (I Do It For You)/ I Don’t Wanna Miss A Thing/I Hate Myself For Loving You/Rock You Like A Hurricane (Bryan Adam/ Aerosmith/Joan Jett/Scorpian), Mewangi (Akim & The Majistret), Nakal (Gigi), Sedang Ingin Bercinta (Dewa 19), Bohemian Rhapsody (Queen), Radioactive (Imagine Dragon).
Turut dipersembahkan Classic/Rock &Roll Medley Come Together/ Jailhouse Rock & Rock Around The Clock (Beatle & Elvis), We Will Rock You (Queen), Smells Like Teen Spirit(Nirvana) dan medley Cina / Tamil Rock Song ‘Nada – Nada’ (Avial & Beyond).

Pada konsert itu nanti, Tunku Marina Tunku Datuk Zubir bakal bertindak selaku Pengarah Koir dan Pengarah Persembahan 2, Syafinaz Selamat pula Pengarah Vokal, Pengarah Persembahan 1 dan Konduktor 1. Manakala Konduktor 2 ialah Mohd Amri Mohd Zin dan Pengarah Muzik, Raja Mohd Sham Raja Saari.

Tiket konsert boleh dibeli menerusi di www.airasiaredtix.com berharga RM 15 dan RM25 sahaja. Pihak Urus Setia turut menyediakan jualan tiket sebelum konsert di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Disember 2014 bermula jam 3.00 petang.
Tiket juga boleh didapati di kaunter Air Asia Red Tix iaitu Rock Corner outlets: The Gardens, Mid Valley, Subang Parade, The Curve  dan Bangsar Village.
Boleh juga didapat di rangkaian Victoria Music di Sg Wang, Amcorp dan Tropicana. Di Pulau Pinang pula di Artist Gallery, Gurney Plaza  Artist Gallery dan Queensbay Mall dan Istana Budaya,  Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: