Friday, November 27, 2015

Kejayaan besar Nora



Kejayaan besar Nora

SIAPA sangka, idea ringkas yang tercetus daripada penyanyi popular 1990-an, Nora Ariffin untuk menerbitkan siri animasi muzikal Islamik, UMMI... Ceritalah Pada Kami (UCPK) benar-benar membuahkan hasil.
Tidak hanya bertindak sebagai pencetus idea, sumbangan penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu juga terletak kepada pencarian bahan dan jalan cerita yang diketengahkan dalam setiap episod.
Hasilnya, hanya berbekalkan watak seorang wanita Muslimah, Hud Hud Media Sdn Bhd (HHMSB) tampil mengetengahkan kandungan berbentuk Islamik bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi juga di antarabangsa.
Lebih membanggakan lagi, HHMSB kini mampu berdiri sama tinggi dengan produksi animasi lain lantaran kejayaan UCPK menggondol beberapa anugerah dalam industri kreatif tanah air.
Buktinya, siri animasi yang menerima dana di bawah Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) ini berjaya dieksport ke 20 negara seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Afrika Selatan, Jordan, Mesir, Turki, Itali dan Maghribi.
Bersyukur di atas kejayaan itu, kata Nora, ia menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya selepas ini.
"Alhamdulillah, siri animasi ini mampu menembusi pasaran dunia sekali gus membanggakan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Apatah lagi selepas diberi peluang oleh MDeC, kita sememangnya digalakkan untuk membawa produk ini ke luar negara dan bukan setakat hanya menjadi 'jaguh kampung'.
"Oleh kerana itu, kita perlu berfikiran luas agar objektif itu tercapai," katanya yang juga merupakan Pengarah HHMSB.
Pada masa sama, sambutan hebat terhadap UCPK menyebabkan HHMSB nekad untuk meneruskan penerbitannya bagi musim kedua.
Pun begitu, penyanyi berusia 43 tahun itu menjelaskan ia masih lagi dalam proses pembikinan dan bakal siap menjelang hujung tahun ini.
Katanya, sambutan yang menggalakkan daripada semua pihak adalah faktor utama siri animasi ini disambung ke musim yang terbaharu.
"Alhamdulillah. Sambutan yang di terima sangat-sangat baik dan memberangsangkan. Malah, untuk musim kedua ini, UCPK akan lebih menarik kerana bakal menampilkan watak baharu yang di pegang oleh penyanyi cilik, Ben Ladin," katanya.
Menariknya, pelancaran musim kedua UCPK dilakukan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di KL Converge 2015, baru-baru ini.

Terap nilai kekeluargaan
Menyambung bicara, isteri kepada komposer terkenal, Johan Nawawi ini menjelaskan 'cita-cita' untuk menerbitkan animasi berbentuk Islamik yang menerapkan nilai-nilai kekeluargaan sudah lama terpahat di dalam hati pasangan suami isteri ini.
Ditambah pula dengan statusnya sebagai ibu dan begitu 'dekat serta akrab' dengan keluarga, menyebabkan pemilik nama sebenar, Wan Nora Afiza Ariffin ini terfikir untuk menghasilkan UCPK.
"Semuanya bermula sekitar lima tahun lalu. Projek animasi ini hanya bermula selepas suami saya menghasilkan album yang memuatkan lagu-lagu bercorak dakwah dan kerohanian menerusi Voices of Ummi.
"Bahkan, sebelum menghasilkan UCPK, saya telah membuat penyelidikan dan melihat potensi animasi islamik ini mampu pergi jauh apatah lagi, dalam pasaran animasi tempatan ketika itu, masih tidak banyak genre sebegini yang diketengahkan untuk tatapan masyarakat," katanya.
Dek permintaan tinggi daripada masyarakat juga, siri animasi kanak-kanak itu kini dipasarkan dalam bentuk cakera padat digital (DVD).
Kata pelantun lagu Dendam Dalam Diam itu, pengeluaran DVD tersebut merupakan hasil kerjasama HHMSD dengan Inteam Records yang bertindak sebagai pengedar eksklusif.
"Menerusi kerjasama itu, Inteam Records akan mengedarkan UCPK bagi siri pertama animasi tersebut untuk pasaran Malaysia, Brunei dan Singapura.
"Secara keseluruhan HHMSB akan menerbitkan tujuh ‘volume’ DVD siri animasi UCPK musim pertama, yang mana setiap DVD mengandungi dua episod serta beberapa video bonus istimewa untuk peminat UCPK.
"Di antara episod yang terdapat di dalam DVD tersebut adalah Rakan Sejati, Si Tanggang Moden, Kisah Sang Perisik, Kelebihan Al-Fatihah dan Pemimpin Terpuji," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: