Saturday, November 28, 2015

Atasi masalah lembu, elak gaduh



Atasi masalah lembu, elak gaduh
Sallehen melihat sendiri kereta yang dipecahkan dalam pergeseran yang berlaku antara dua kumpulan.
SABAK BERNAM – Kerajaan negeri digesa mengeluarkan satu arahan jelas berhubung tindakan penguatkuasaan yang perlu diambil Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) bagi menangani masalah lembu berkeliaran di kawasan tumpuan penduduk.
Adun Sabak, Sallehen Mukhyi berkata, pada masa ini, MDSB tidak dapat menangani isu lembu berkeliaran berikutan tidak mempunyai tempat khusus untuk menempatkan lembu yang disita, selain memerlukan kos penyelenggaraan tinggi.
Menurutnya, jika diambil tindakan penguatkuasaan sekali pun, hanya beberapa lembu saja yang dapat disita selain kadar kompaun yang dikenakan MDSB terhadap penternak lembu juga masih dianggap rendah.
Sallehen berkata, sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil, kerajaan negeri juga perlu menyediakan satu tempat khas atau padang ragut munasabah bagi menempatkan lembu terbabit dalam menangani masalah berkenaan.
“Sekiranya ada padang ragut khas, tetapi masalah ini masih berlarutan, MDSB boleh mengenakan kompaun tinggi dan caj harian selagi penternak tak menuntut lembu mereka," katanya.
Beliau berkata, masalah itu juga telah dibawa beliau dalam Sidang Dun Selangor yang lalu dan dibincangkan di peringkat jawatankuasa tindakan daerah.
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sungai Air Tawar, Ahmad Mustain Othman berkata, isu pertelingkahan antara penduduk dan  penternak lembu memuncak sejak sekian lama, tetapi masih tiada tindakan penyelesaian mengenainya.
“Perkara ini telah dibawa ke jawatankuasa tindakan daerah dan pegawai daerah juga telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani  masalah ini," katanya.
Dalam pada itu, polis akan membuat perjumpaan dengan penduduk kampung untuk beri penerangan berhubung kejadian pergaduhan melibatkan dua   kaum di Kampung Baru, Sabak Bernam, Selasa lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, beliau sudah mengarahkan ketua polis daerah untuk memberi penerangan dalam masa terdekat antara dua pihak masyarakat India dan Melayu di kawasan tersebut.
“Siasatan sedang dijalankan dan kita akan selesaikan perkara ini mengikut lunas undang-undang," katanya.
Semalam, Sinar Harian melaporkan, tindakan seorang penternak lembu membiarkan ternakannya berkeliaran dan meragut tanaman penduduk mencetuskan pergaduhan antara dua kumpulan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: