Friday, November 27, 2015

Anak buta huruf cemerlang



Anak buta huruf cemerlang
Antara pelajar Pusat Pendidikan Baitul Rahman bersama hadiah yang dimenangi mereka sempena Hari Anugerah Cemerlang yang diadakan, semalam.
SUNGAI PETANI – Kegembiraan seorang bapa tidak dapat diungkap apabila melihat tiga daripada lima anaknya yang sebelum ini buta huruf kini dapat membaca, menulis dan mengira.
Abdul Razak Mohd Rafiq, 50, berkata, lebih menggembirakan apabila anak sulung, Nurjahan, 11, dikategorikan Pelajar Terbaik Keseluruhan kategori perempuan sejak mengikuti pembelajaran di Baitul Rahmah Rohingya Learning Center (BRRLC) dua tahun lalu.
Menurutnya, sebelum ini dia hanya menghantar anaknya mengaji al-Quran di rumah rakan, namun selepas pusat pendidikan terbabit dibuka, Nurjahan yang turut aktif pelbagai pertandingan berjaya menguasai subjek yang dipelajari termasuk bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Melayu.
“Saya memang berhajat menyekolahkan anak-anak supaya mereka mampu berdikari kerana sebelum ini terbiar, buta huruf dan tidak berpeluang mendapatkan pendidikan asas sempurna,” katanya pada Majlis Anugerah Cemerlang BRRLC, semalam.
Selain memenangi anugerah dalam beberapa pertandingan seperti nasyid dan bercerita, Nurjahan turut cemerlang dalam beberapa mata pelajaran lain termasuk Matematik, Pendidikan Seni dan Pendidikan Islam.
Abdul Razak berkata, dua lagi anaknya, Shahirah, 10, dan Mohamad Hakim, 9, juga bijak menguruskan diri selain berdisiplin bukan sahaja dari aspek pengurusan diri malah akademik.
Shahirah turut menerima Anugerah Kedatangan Terbaik dan Terbaik Bercerita dalam majlis sama.
Menceritakan kesusahan yang pernah dilalui pada 1989 ketika melarikan diri dari negara asal, Abdul Razak bersama ratusan penduduk Myammar berjalan kaki selama seminggu melalui laluan hutan sebelum sampai ke sempadan Thailand yang akhirnya membawa diri mereka ke Malaysia.
“Kami hanya makan sumber dari hutan dan minum air bukit selain terpaksa melarikan diri kerana mendapat ancaman dari tentera,” dakwanya.
Dia yang dahulu mengambil upah dalam bidang pertukangan kini hanya mampu mengutip barangan kitar semula sebelum dijual kepada pengusaha selepas disahkan menghidap sakit jantung.
Pada majlis sama, Abdul Razak bersama isteri, Aisya Osman, 36, dan lima anaknya turut menerima penghargaan bagi kategori Anugerah Keluarga Prihatin atas tanggungjawab serta komitmennya dalam segenap aspek dihargai pengurusan BRRLC.
Sementara itu, Pengurus Kurikulum BRRLC, Fatimah Ahmad berkata, majlis berkenaan bertujuan meraikan anak-anak serta ibu bapa bagi memupuk semangat mencintai ilmu di samping meningkatkan keyakinan melalui bakat dan kebolehan mereka.
Menurutnya, keprihatinan ibu bapa amat baik kerana turut serta di samping penglibatan masyarakat termasuk pengurusan Surau Al Amin Taman Sejahtera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: