Friday, October 23, 2015

Tontonan Berulang Punca 'Polis Evo' Kutip RM16 Juta




Polis Evo kini melebihi RM16 juta 34 hari tayangan.
KUALA LUMPUR: Kejayaan filem Polis Evo yang mampu memperoleh kutipan RM16 juta selepas 34 hari tayangan adalah disebabkan faktor tontonan berluang oleh orang ramai yang menontonnya lebih daripada sekali.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, menerusi maklum balas yang diterima dan kajian yang dilakukan terdapat penonton yang menonton filem tersebut 11 kali di pawagam.

"Alhamdulillah filem itu masih ditayangkan dan hari ini (Khamis) sudah masuk hari ke 34 di pawagam sudah pun melebihi angka RM 16 juta.

"Menerusi survey dan maklum balas yang kami terima kebanyakkan penonton menonton lebih sekali di pawagam, ada seorang penonton yang ulang tonton sebanyak 11 kali," ujarnya kepada mStar Online.

Najwa ditemui pada majlis pelancaran filem terbaharu terbitan Astro Shaw Ola Bolayang diadakan di Stadium Merdeka, di sini, Khamis.

Gandingan mantap pelakon Shaheizy Sam dan Zizan Razak.
Tambah Najwa, Polis Evo juga filem pertama yang mendapat respons paling tinggi di laman sosial.

"Daripada semua filem terbitan Astro Shaw, Polis Evo adalah yang paling aktif dan menjadi topik perbualan di laman-laman sosial.

"Pengguna laman sosial internet memberi komen positif sehingga ia mempengaruhi pengguna laman sosial lain untuk menonton filem tersebut," ujarnya.

Selain itu, Najwa berkata, filem tersebut masih mendapat sambutan hangat di pawagam dan masih ditayangkan sebanyak 83 buah panggung di seluruh negara.

Dia berharap filem tersebut dapat menandingi kutipan filem terbitan syarikat produksi itu sebelum ini iaitu The Journey yang berjaya mengutip sebanyak RM17. 8 juta.

Sementara itu ditanya sama ada pihaknya akan menghasilkan sekuel filem tersebut disebabkan sambutan menggalakkan, Najwa berkata, perkara itu belum difikirkan lagi.

"Kalau nak hasilkan sekual sudah tentu kita perlu berhadapan dengan jangkaan penonton yang tinggi dan kami perlu sesuatu bahan yang lebih hebat.

"Buat masa ini kami tiada memikirkan lagi perkara itu, Insya-Allah kalau ada cerita yang baik, mungkin ia akan dibincangan," ujarnya.

Terdahulu Polis Evo lakonan Shaheizy Sam dan Zizan Razak berjaya mencatat kutipan memberangsangkan dengan jumlah RM8 juta selepas 11 hari ditayangkan.

Filem yang mula ditayangkan pada 17 September lalu adalah arahan Ghaz Abu Bakar merupakan gabungan karya Joel Soh, Kyle Goonting dan Anwari Ashraf.

Polis Evo merupakan filem yang memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak).

Kedua-dua pemuda itu mempunyai personaliti yang sangat berbeza tetapi mereka harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: