Saturday, October 24, 2015

Elak kontroversi, Reen Rahim jaga maruah keluarga



Reen Rahim
Reen Rahim
NAMA pelakon, Reen Rahim mungkin lebih dikenali dengan watak antagonis apabila sering membawakan watak sedemikian dalam mana-mana drama atau filem yang dibintanginya. Pun begitu dalam dunia sebenarnya, pelakon berusia 27 tahun ini, jarang dihambat kontroversi liar.
Reen Rahim atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata, dia sangat menjaga kelakuan dan meletakan maruah keluarga sebagai keutamaannya.
“Saya sebolehnya tidak mahu terpalit dengan apa-apa kontroversi kerana saya kurang bersosial, selepas habis kerja saya terus balik rumah dan layan mak saya.
“Saya juga bukan menjaga reputasi nama sendiri, tetapi dari dahulu saya menjaga nama ibu bapa, jadi selamat sikit. “Kontroversi ini juga ada yang memberikan impak positif sekiranya perkara itu dilakukan dengan baik tetapi kalau negatif ianya akan bertambah buruk.
“Memang ada kalanya kontroversi dapat menaikkan nama seseorang artis itu, tetapi ada positif dan negatifnya,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis prebiu filem Mirip, baru-baru ini.

Dituduh sombong?
Sementara itu, Reen Rahim turut mengakui ketika baru dalam dunia lakonan, dia sering dilabel artis sombong.
“Masa saya mula-mula berlakon memang orang kata saya sombong dan muka berlagak, tetapi apabila sudah lama dan berbual barulah tahu diri saya sebenarnya.
“Lagipun ketika mula dahulu, saya tidak biasa lagi dengan ramai orang, jadi mungkin agak kekok untuk berbual-bual. Tetapi sekarang tidak dengar lagi kenyataan seperti itu,” katanya.
Reen juga turut berkongsi perihal peribadinya di mana dia mengakui sudah mempunyai teman rapat.
“Saya memang punyai kawan lelaki yang rapat sejak zaman sekolah lagi sehingga kini. Namun dia bukanlah orang di dalam industri.
“Kami selesa berkawan sehingga kini, namun masih tidak mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk melangsungkan perkahwinan kerana kini terlalu sibuk dengan kerjaya lakonan.
“Dahulu memang saya pernah sasarkan untuk berkahwin ketika umur 24 tahun, tetapi kini saya tidak lagi sasarkan, saya akan ikut sahaja. Jika sudah sampai jodoh saya, saya akan berkahwin juga,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: