Tuesday, October 27, 2015

"Apa Nak Malu, Saya Tak Salah" - Amir (Ukays)




Amir tetap meneruskan perjuangannya dalam program Gegar Vaganza biarpun namanya tercalar akibat ditahan polis minggu lalu. 
SHAH ALAM: Bekas vokalis kumpulan Ukays, Amir akan tetap meneruskan perjuangannya dalam program Gegar Vaganza 2 biarpun namanya tercalar ekoran ditahan pihak polis selepas dipercayai memiliki senjata api kira-kira pukul 1.45 pagi pada 21 Oktober lalu.

Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, 46, berkata, meskipun kes berkenaan masih dalam siasatan dia tidak perlu berasa malu dengan kejadian itu selain menegaskan dia tidak bersalah.

"Saya tidak bersalah, buat apa hendak takut? Jadi tiada sebarang sebab mengapa saya perlu menarik diri biarpun pada awalnya tumpuan saya sedikit terganggu untuk mengadakan persembahan.

"Selagi saya diterima dalam program ini saya akan teruskan berjuang demi sokongan peminat yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat," katanya kepadamStar Online.
Amir ditemui sejurus selesai konsert minggu kedua Gegar Vaganza 2 yang diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini, malam Ahad.

Amir enggan mengulas kes penahanannya kerana bimbang menggangu siasatan pihak berkuasa.
Pertandingan minggu kedua itu menyaksikan kesemua 12 peserta mara ke minggu ketiga pertandingan tanpa sebarang penyingkiran.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai kejadian itu, Amir berkata, ketika ditahan dia baharu sahaja pulang dari studio untuk menjalani latihan persembahan konsert rancangan itu sebelum memberhentikan kenderaannya berhampiran kawasan perumahannya iaitu di Sentul dekat sini.

Kata Amir, dia berbuat demikian kerana sedang menghayati lagu Sudirman bertajukAntara Hujan dan Air Mata yang disampaikannya pada konsert minggu kedua sebelum dihampiri polis.

"Saya berhentikan kenderaan kerana sedang menghayati lagu Sudirman tersebut kerana ia mempunyai makna besar kepada saya namun berada di tempat dan waktu yang salah," jelasnya.
Kesemua 12 peserta Gegar Vaganza mara ke minggu ketiga.
Jelas Amir lagi, kes berkenaan masih lagi dalam siasatan biarpun dia sudah dibebaskan dengan jaminan polis dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
"Ia masih dalam siasatan dan pihak berkuasa membebaskan saya selepas percaya dengan keterangan diberikan.

"Bagaimanapun saya minta maaf tidak dapat memberikan komen lanjut mengenainya kerana ia masih dalam siasatan dan enggan kenyataan saya nanti menggangu kerja pihak polis," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menyingkirkan Amir daripada menyertai program berkenaan kerana Amir masih belum didapati bersalah.

"Selagi dia tidak didapati bersalah, Amir akan terus bertanding dalam Gegar Vaganza," katanya.

Gegar Vaganza disiarkan secara langsung menerusi pada setiap hari Ahad pukul 9 malam di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Selain Amir, peserta Gegar Vaganza 2 turut disertai oleh Acong (Sweet Child), Ezad Lazim, Nassier Wahab, Nizam (Laksamana), Zul (Handy Black), Farahdhiya, Siti Nordiana, Azian Mazwan, Sheeda, Haiza dan Ezlynn.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: