Monday, October 26, 2015

Akses internet tanpa had sambil bercuti



Akses internet tanpa had sambil bercuti
Zulfikri (dua, kanan) yang mewakili TM bertukar dokumen perjanjian perkhidmatan dengan Rayan Komat. Turut hadir Pengurus Residen, Swiss Garden Resort Residences. Wan Shahrin Wan Ahmad (kiri) dan Pengurus TM Enterprise Pahang, Basri Mahayedin.
KUANTAN - Swiss-Garden Resort Residences Sungai Karang di sini menjadi hotel ketujuh melanggan akses internet berkualiti tinggi, Perkhidmatan Penyelesaian Hospitaliti Hiburan Telekom Malaysia Berhad (TM).

 Penyelesaian Hospitaliti Hiburan menyeluruh itu, merangkumi internet jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 12 megabait sesaat (Mbps),  televisyen HyppTV selain kemudahan pusat panggilan untuk penyelesaian masalah teknikal.

 Pengurus Besar TM negeri, Zulfikri Hashim berkata, pakej menyeluruh ini dibangunkan khas bagi meningkatkan pengalaman tetamu hotel serta untuk menyelesaikan kebimbangan pihak pengurusan teknikal resort terhadap akses internet dan sebagainya.

 Menurutnya, melalui kolaborasi itu, Swiss-Garden Resort Residences Sungai Karang dapat menawarkan akses internet berkualiti tinggi kepada tetamu yang bercuti untuk terus berhubung dan berhibur melalui perkhidmatan ditawarkan itu.

 “Tetamu perniagaan hotel juga dapat menikmati akses internet yang terjamin untuk membolehkan mereka kekal produktif di luar pejabat,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Penyelesaian Hospitaliti Hiburan antara Swiss Garden Resort Residences dan TM.

 Zulfikri berkata, sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan itu, TM turut menyediakan pusat panggilan bagi khidmat sokongan pelanggan 24 jam bagi tetamu yang berdepan dengan masalah rangkaian di hotel tersebut.

“Penggunaan akses internet ini lebih privasi kerana tidak berkongsi dengan pengguna awam yang lain sebaliknya hanya hotel ini sahaja yang menggunanya.

“TM juga akan membekalkan sambungan internet dengan kelajuan 30 megabait sesaat di Swiss Garden Resort Hotel Kuantan selaras dengan perjanjian yang ditandatangani ini,” katanya.

 Beliau berkata, TM  akan terus memainkan peranan dalam usaha menawarkan operasi dan perkhidmatan yang lebih bermutu kepada masyarakat.

 Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan Swiss-Garden International Hotels, Spas and Inns Wilayah Timur, Rayan Komat berkata, penyediaan kemudahan hiburan keluarga yang menghubungkan semua bilik hotel itu memberi pengalaman percutian yang menyeronokkan kepada tetamu.

 “Hanya dengan akses internet ‘plug dan play’ para tetamu hotel boleh kekal berhubung dengan orang tersayang, mengemas kini rangkaian media sosial mereka dan sebagainya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: