Monday, September 28, 2015

Ungu buai perasaan penonton


Ungu buai perasaan penonton

SERING mengangkat tema cinta, lagu-lagu dendangan kumpulan Ungu tidak sukar mendapat tempat di hati si pendengarnya.
Barisan lirik begitu menyentuh perasaan diiringi alunan muzik memikat menjadikan Ungu antara kumpulan yang disebut-sebut bukan sahaja di negara asalnya Indonesia, malah juga di negara ini.

Demi Waktu, Tercipta Untukku dan Kekasih Gelapku adalah antara seleksi lagu hit yang membawa nama kumpulan ini berada pada kelasnya yang tersendiri.

Lebih membanggakan, kumpulan yang dianggotai empat jejaka iaitu Pasha (vokalis), Makki (pemain bass), Onci (gitaris) dan Eda (pemain dram) sudah mencecah usia 18 tahun bertahan dalam arena muzik.

Namun sejak kebelakangan ini, cerita kurang enak mengenai pembubaran Ungu mengundang kecewa para peminatnya.

Khabar angin itu mula timbul apabila vokalisnya, Pasha mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam bidang politik.

Malah ada yang mengatakan, kunjungan mereka ke negara ini bagi mengadakan Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 adalah persembahan terakhir sebelum Ungu dibubarkan.

Menafikan sekeras-kerasnya perkara tersebut, Pasha yang bakal bertanding merebut jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan Kota Palu menjanjikan Ungu akan terus kekal menghiburkan peminatnya.

“Kalau ditanya sama ada Ungu dibubar atau tidak, jawapannya adalah tidak.

“Malah Ungu akan selalu ada dan saya juga tidak akan keluar dari kumpulan ini. Itu janji saya.

“Sebenarnya kami sendiri tidak tahu dari mana datangnya berita yang mengatakan konsert ini adalah persembahan kami yang terakhir,” tegasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Pasha, pembabitannya dalam bidang politik juga mendapat sokongan daripada anggota Ungu yang lain.

“Ungu itu sudah hampir 20 tahun berada dalam industri. Itu jangka masa yang lama dan kami sendiri sudah mengenali antara satu sama lain.

“Jika kami masing-masing beri fokus pada bidang lain, itu tidak menimbulkan sebarang masalah kerana Ungu tetap akan ada,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin berkata, dirinya tidak pernah terfikir untuk pergi lebih jauh dalam berpolitik namun atas kepercayaan yang diberikan, dia yakin untuk mewakili penduduk kampungnya.

“Kalau ikutkan, ayah saya seorang ahli politik begitu juga dengan abang saya. Jadi, dari kecil memang saya sudah minat politik.

“Mengapa saya mahu terlibat dalam bidang politik ini juga kerana saya mahu berbakti kepada masyarakat di kampung saya.

“Mungkin saya sudah berjaya mendapat populariti dalam bidang muzik, tapi apakah sumbangan saya pada masyarakat di kampung.

“Banyak hal yang boleh saya sumbangkan sekiranya berjaya mendapatkan jawatan itu,” jelasnya.

Masih utuh

Biarpun zaman silih berganti, namun pengaruh kumpulan Ungu masih lagi utuh.

Ini dapat dibuktikan dengan kebanjiran peminatnya yang memenuhi ruang Mega Star Arena ketika konsert Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 dijalankan malam Rabu lalu.

Tepat jam 9.30 malam konsert dimulakan dengan persembahan pembukaan dari bakat baharu, Wani Kayrie dengan lagu hitnya, Jangan Jangan.

Tidak melengahkan masa, kumpulan Ungu diundang ke pentas sekali gus menghangatkan lagi malam konsert.

Sebelum persembahan nyanyian dimulakan, penonton disajikan dengan visual perjalanan Ungu dari awal karier yang bermula pada 1996 sehingga kini sambil disaksikan sendiri anggota kumpulan itu sendiri.

Penonton kembali teruja apabila Ungu memulakan persembahan dengan lagu Pernahkah Kau Merasa dan Percaya Padaku.

Ternyata lagu-lagu Ungu bukanlah asing apabila penonton turut menyanyi bersama-sama.

Selain memiliki vokal yang mantap, Pasha juga dilihat bijak berinteraksi dengan penonton menjadikan malam konsert lebih meriah.

Selang beberapa lagu, dia mengambil kesempatan berinteraksi dengan penonton dan sesekali membuat lawak jenaka spontan.

Seleksi lagu hit yang disampaikan Ungu seperti Putus, Aku Bukan Pilihan Hatimu, Kekasih Gelapku, Cinta Selamanya seakan mengembalikan semula nostalgia penonton yang hadir pada malam itu.

Suasana dewan bertambah meriah apabila Pasha mengambil peluang yang ada untuk turun dari pentas berinteraksi lebih dekat dengan penonton.

Seterusnya mood konsert bertukar tenang apabila Pasha menyampaikan dua lagu ketuhanan Bila Tiba dan Andaiku Tahu.

Penonton kembali dibuai perasaan dengan persembahan lagu Tercipta Untukku yang sememangnya dinantikan penonton pada malam itu.

Bagi meneruskan konsert, Ungu sekali lagi mengundang Wani untuk menyampaikan lagu duet Ku Pinang Kau Dengan Bismillah.

Pada kemuncak konsert, Ungu turut menampilkan Stacy bagi menyampaikan single terbaharu mereka berjudul Berteman Sepi.

Gandingan mantap Pasha dan Stacy berjaya memikat hati penonton yang teruja untuk berhibur bersama kumpulan kesayangan mereka itu.

Konsert yang berjalan lebih kurang dua jam itu diakhiri dengan persembahan lagu Demi Waktu yang pernah melonjakkan nama mereka suatu ketika dahulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: