Wednesday, September 30, 2015

Tunjuk bakat mengambil gambar dengan IIB



Tunjuk bakat mengambil gambar dengan IIB
Karya bertajuk Kota Iskandar- Kota Cintaku memenangi tempat pertama pertandingan berkenaan pada tahun lalu.
JOHOR BAHRU - Orang ramai dipelawa untuk menyertai pertandingan fotografi dan videografi dengan tema baharu ‘We Are Iskandarians’ IM Klik 2015 anjuran Iskandar Investment Berhad (IIB).

Pertandingan berkenaan terbuka kepada semua yang berminat termasuk jurugambar amatur dan profesional telah bermula sehingga 31 Oktober ini membabitkan karya mengenai gaya hidup di Iskandar Malaysia.

Setiap karya boleh dihantar melalui laman web IM Klik iaitu www.imklik.com bagi berpeluang memenangi hadiah utama berupa baucar tunai sebanyak RM4,000.

Pemenang kedua dan ketiga menerima baucar tunai RM3,000 dan RM2,000 manakala sebanyak 27 hadiah saguhati turut disediakan.

Selain hadiah lebih lumayan berbanding tahun sebelumnya, penganjur turut menyediakan kategori tambahan iaitu video pendek yang dijangka mampu menjadi medium pilihan golongan muda untuk menyatakan kebanggaan mereka sebagai warga Iskandar.

Slot selama 15 saat menggunakan media sosial Youtube dan Instragram akan dinilai dengan jumlah ‘like’ yang diterima untuk menjadi pemenang.

Sementara itu, Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, pihaknya menjangkakan menerima 1,000 penyertaan bagi pertandingan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2014.

“Kita amat berbesar hati apabila pertandingan ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan semenjak ia diperkenalkan.

“Melalui karya yang dihasilkan bagi pertandingan ini  ia mampu menggambarkan rasa bangga warga Iskandar Malaysia dari semua lapisan masyarakat mengenai perkembangan pembangunan pesat yang berlaku di depan mata mereka,”katanya.

Edisi pertama pertandingan ini pada tahun lalu adalah bertemakan ‘Liveable City of Iskandar Malaysia’yang turut diabadikan dalam sebuah buku bertajuk ‘Iskandar Malaysia – Through the Lens’

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: