Wednesday, September 30, 2015

'Tolong pulangkan wang saya semula'



'Tolong pulangkan wang saya semula'
Shahrulnizam bersama laporan polis dan bukti transaksi wang berjumlah RM2,500 dilaburkan untuk skim yang diuruskan seorang wanita di laman Facebook.
KUALA LUMPUR - “Wang bernilai RM2,500 mungkin tak ada apa sangat pada orang yang tipu saya, tapi pada saya ia terlalu besar. Apatah lagi ia satu-satunya wang pusaka peninggalan arwah ayah,” demikian luahan  seorang penghidap penyakit lemah jantung, Mohd Shahrulnizam Mohd Nawi, 40, yang menjadi mangsa penipuan skim pelaburan dan pinjaman tanpa faedah yang beroperasi menerusi laman Facebook.

Skim itu dikatakan berfungsi menerusi pelaburan emas diuruskan oleh seorang wanita yang mengaku mempunyai kedai barang kemas.

Shahrulnizam berkata, dia menyertai skim itu pada tahun 2013 dengan melaburkan wang permulaan sebanyak RM500 dan menerima pulangan RM1,000 dalam masa seminggu.

“Disebabkan dah dapat wang pulangan itu, saya jadi yakin untuk buat pelaburan baru. Kali ni saya laburkan RM2,500 yang sepatutnya digunakan untuk tampung kos perubatan jantung saya.

“Niat saya hanya untuk gandakan duit, serba sedikit dapatlah bantu saudara lain. Tapi pelaburan saya tak ada khabar berita sampailah tempoh yang dijanjikan.

“Bila saya hubungi wanita yang bertanggungjawab uruskan skim tu, dia maklumkan yang dia pun kena tipu dan macam nak lepas tangan.

“Pernah juga saya minta dia kemukakan bukti laporan polis kalau betul dia jadi mangsa, tapi tak ada. Dia janji nak bayar duit saya semula, tapi senyap macam tu saja," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di Flat Seri Pulang Pinang, Cheras, di sini.

Tambahnya, dia yakin ramai lagi yang tertipu dengan skim berkenaan malah dengan amaun yang lebih besar.

Katanya, dia cuba untuk membawa kes berkenaan ke muka pengadilan namun tidak dapat diteruskan kerana tidak mampu tanggung kos guaman.

“Saya terpaksa pinjam ah long untuk tampung kos pasang bateri jantung supaya saya boleh jalani rutin harian macam orang lain. Tapi keadaan saya lemah sekarang, selain tak boleh bekerja dan bergantung dengan wang Baitulmal RM400 sebulan.

“Cukup tak cukup pun, itulah yang saya ada untuk teruskan hidup dengan nenek saudara yang tinggal bersama. Saya hanya mahu dia pulangkan duit saya balik," katanya yang juga membuat laporan polis Oktober tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: