Wednesday, September 30, 2015

Tesco bantu kanak-kanak malang



Tesco bantu kanak-kanak malang
Ritchie (belakang, dua, kiri) bersama rakan amal Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi ketika pelancaran bersama media sempena majlis makan malam gala amal.
TESCO Stores Malaysia Sdn Bhd (Tesco) optimis untuk mencapai sasaran kutipan RM500,000 dalam Majlis Makan Malam Gala Amal Sinaran Jalinan Budi yang bakal diadakan 6 November ini, di Kuala Lumpur, bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata, majlis itu merupakan sebahagian daripada inisiatif amal terbaharu Tesco, yang dikenali sebagai Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi, dilancarkan sejak Jun lalu.

“Setakat ini, kami membantu sebanyak 1,700 kanak-kanak melibatkan 56 rumah kebajikan yang terletak berhampiran dengan ibu pejabat kami, pusat pengedaran dan pasar raya kami di seluruh negara.

“Kami berharap dengan majlis makan malam gala amal nanti, dapat meningkatkan jumlah dana dalam Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi untuk membantu ribuan kanak-kanak supaya mereka mendapat kehidupan lebih baik,” katanya pada pelancaran bersama media sempena Makan Malam Gala Amal Sinaran Jalinan Budi di Kuala Lumpur, semalam.

Ritchie memberitahu, dana yang dikutip nanti bakal disalurkan kepada kanak-kanak kurang berkemampuan, mempunyai penyakit kritikal dan konflik.

“Dana itu adalah hasil usaha bersama Tesco dengan Universiti Malaya, ‘The Caring Foundation’ dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),” katanya.

Justeru, beliau mengalu-alukan rakan niaga Tesco untuk menaja majlis makan malam gala amal dalam usaha membantu kanak-kanak yang memerlukan.

Menurutnya, seramai 500 orang dijangkakan akan hadir dan ia turut dihadiri isteri bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Mereka yang hadir pada majlis amal itu bakal dihiburkan penyanyi Jazz, Sean Ghazi dan Ida Mariana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: