Wednesday, September 30, 2015

Pengguna perlu berdisiplin di jalan



Pengguna perlu berdisiplin di jalan
Zainol (kiri) memakaikan topi keledar pada seorang penunggang motosikal yang menukar topi keledar baharu pada program anjuran JKJR.
IPOH - Bagi memberi kesedaran pengguna terhadap keselamatan ketika berada di jalan raya, kerajaan negeri bersama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri dan agensi kerajaan memperhebatkan lagi kempen berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, sikap peka dan prihatin terhadap keselamatan adalah penting supaya pengguna memandu kenderaan dengan berhemah.

Menurutnya, kempen keselamatan dan kesedaran akan terus diadakan dalam memberi impak yang tinggi untuk mendisiplinkan pemandu kenderaan di negeri ini.

“Malah melalui JKJR,  kempen turut dilakukan setiap minggu melalui program Tiada Minggu Tanpa Advokasi termasuk hebahan di media cetak dan elektronik,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Zainol Fadzi berkata, kempen dianjurkan hanya membantu mengubah sikap pengguna supaya sentiasa berhemah di jalan raya, namun ia terletak pada diri pengguna untuk berubah.

Jelasnya, program kesedaran dan kempen tidak akan berjaya jika pengguna masih tidak mengubah sikap pemanduan.

“Kita sasarkan kepada pengguna motosikal memandangkan faktor penyumbang kematian dalam kalangan penunggang dan pembonceng yang terbabit kemalangan tinggi," katanya.

Beliau berkata, kes kemalangan melibatkan penunggang motosikal terus mencatatkan peningkatan disebabkan sikap sambil lewa mereka yang tidak memakai topi keledar yang sepatutnya.

“Ramai penunggang masih pakai half shell helmet yang tidak melindungi muka dan pipi kalau jatuh malah menyebabkan kepala pecah bila kemalangan.

“Kita berharap masyarakat sedar betapa seriusnya usaha kami dalam menggalakkan penunggang memakai topi keledar dengan cara yang betul bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sempena program itu, sebanyak 80 topi keledar penunggang motosikal tidak menepati piawaian ditukar baharu secara percuma termasuk 16 topi keledar kanak-kanak.

JKJR turut edarkan 100 risalah keselamatan jalan raya, 100 pelekat pemantul cahaya, 50 vest pemantul cahaya untuk dewasa dan 16 vest untuk kanak-kanak.

Program itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis dan sukarelawan IM4RoadSafety JKJR.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: