Wednesday, September 30, 2015

Pecah amanah wang akaun surau



Pecah amanah wang akaun surau
Zulkifli (kiri) bersama sebahagian ahli kariah menunjukkan dokumen yang dipalsukan sebagai bukti berlakunya kes pecah amanah di surau tersebut.
PETALING JAYA – Satu komplot pecah amanah yang melibatkan penggunaan wang dalam akaun  surau di kawasan perumahan di sini telah mengakibatkan kerugian bernilai RM13,000.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk, Zulkifli Ramli, 42, mendakwa komplot berkenaan didalangi beberapa penduduk.

“Mereka keluarkan wang dari akaun surau tanpa pengetahuan ahli kariah secara tunai dan cek atas nama salah seorang daripada mereka.

“Kami tak tahu sama ada pengeluaran wang berkenaan digunakan untuk menganjurkan majlis atau pembelian barangan keperluan surau kerana tidak ada dokumen yang dikemukakan,” katanya dalam satu sidang media, baru-baru ini.

Katanya, penyelewengan tersebut disedari ahli kariah apabila pihak bank menghantar penyata kewangan ke alamat surau berkenaan.

“Kami tengok ada transaksi yang berlaku dalam penyata kewangan, tapi kami tak pernah dimaklumkan mengenainya sebelum ini. 

“Mesyuarat dengan ahli kariah juga tidak pernah diadakan sama ada untuk memaklumkan atau mendapatkan persetujuan tentang penggunaan wang yang ada,” katanya.

Menurutnya, kejadian dipercayai telah berlaku sejak 2013 lagi selepas surau berkenaan didaftarkan di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Berdasarkan semakan penyata kewangan dan buku cek surau, mereka mula mengeluarkan wang tanpa pengetahuan bermula pada Februari 2013.

“Setiap wang yang dikeluarkan tidak diketahui ke mana perginya kerana tidak ada resit ataupun dokumen yang berkaitan,” katanya.

Dakwanya lagi, komplot berkenaan turut menggunakan akaun surau sebagai transit untuk mendapatkan dana bagi tujuan peribadi.

“Kami dapati mereka ada meminta sumbangan dengan menggunakan nama surau atas alasan untuk menganjurkan aktiviti tertentu. 

“Hakikatnya tak ada aktiviti surau yang dijalankan dan melibatkan penggunaan wang, tetapi wujud transaksi melalui penyata kewangan yang diterima,” katanya.

Tambah Zulkifli, pemalsuan dokumen turut dilakukan ke atas beberapa transaksi bagi menutup salah laku mereka.

“Bulan Ramadan yang lalu mereka telah mengeluarkan wang berjumlah RM1,000 atas alasan untuk membayar upah imam solat tarawih.

“Mereka catatkan dalam sebuah dokumen sebagai bukti pembayaran kepada imam yang dilantik,” katanya. 

Bagaimanapun setelah disiasat, Zulkifli berkata, mereka dapati bayaran imam tersebut telah disumbangkan oleh seseorang dan bukan wang melalui akaun surau.

Menurutnya, laporan polis juga telah dibuat berkenaan hal tersebut.

Sehubungan itu, dia berharap agar pihak berwajib terutamanya Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan perhatian serius terhadap kes pecah amanah yang berlaku. 

“Ia melibatkan penggunaan wang surau untuk kepentingan peribadi. Penyelewengan akan terus berleluasa dan memberi kesan kepada surau jika ia dibiarkan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: