Wednesday, September 30, 2015

Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah



Pampasan RM120 hingga RM260 tidak munasabah
Kumpulan peneroka terlibat berhimpun menghalang sebarang kerja penebangan pokok selagi bayaran pampasan tidak mencapai kata persetujuan.
JENGKA - Peneroka Felda dekat sini menyifatkan bayaran RM120 hingga RM260 sepokok sebagai pampasan kebenaran ‘izin lalu’ untuk projek Talian Penghantaran Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah tidak munasabah.
Projek talian 132KV (double curcuit) dari PMU Kampung Awah ke PMU Jengka itu akan merentasi ladang kelapa sawit anggaran seluas 570 ekar yang dimiliki 57 peneroka di kawasan Felda Jengka 11, 14, 18, 19 dan 20.

Seorang peneroka terlibat, Mohd Ayob Shahri, 55, mendakwa harga yang ditawarkan TNB jauh lebih murah berbanding permintaan peneroka iaitu RM1,000 sepokok.

Menurutnya, harga RM1,000 itu adalah harga terakhir yang dipersetujui peneroka dengan khidmat nasihat peguam walaupun permintaan asal adalah RM2,200 sepokok.

“Projek ini dimaklumkan kepada peneroka pada 2013 dan kami memberi keizinan dengan syarat TNB membuat bayaran pampasan setimpal. Sudah pasti ia merupakan projek kekal maka tidak masuk akal sekiranya TNB hanya mahu membayar paling tinggi RM260 sepokok.

“Kebanyakan pokok sawit terlibat sudah berusia lapan tahun dan kami akan kehilangan pokok ini selama-lamanya malah tidak dibenarkan untuk melakukan sebarang aktiviti pertanian di bawah laluan kabel itu nanti,” katanya.

Mohd Ayob berkata, TNB melakukan pembayaran pertama pada Julai 2013 dan peneroka menerima pampasan tersebut tetapi dengan bantahan selepas mendapat nasihat peguam dan pihak Pejabat Tanah dan Daerah Maran.


Desakan peneroka

Menurutnya, desakan terus dibuat peneroka dan pada April lalu hasil campur tangan Pihak Berkuasa Negeri, pihak TNB bersetuju melakukan pembayaran ihsan sebanyak 10 peratus dariPada bayaran pertama.

“Harga sepokok bagi bayaran pertama dan ihsan 10 peratus ini masih rendah iaitu sekitar RM300 sepokok berbanding harga permintaan peneroka, RM1,000 sepokok,” katanya.

Seorang anak peneroka, Abdul Shukor Abu Bakar, 37, berkata, dia yang mewakili bapanya menerima bayaran pertama sebanyak RM36,140 untuk 139 pokok.

Menurutnya, pihak TNB turut membeli tanah bagi kawasan pokok sawit terlibat berharga RM23,328 untuk keluasan 1.885 hektar.

“Saya dan peneroka lain tiada pilihan dan kerana nasihat peguam, kami terpaksa menerima bayaran pampasan pertama dan ihsan walaupun harga dibayar sangat rendah.

“Pihak Kerajaan Negeri perlu campur tangan bagi membela nasib peneroka agar kami mendapatkan pampasan setimpal,” katanya.


Tidak halang projek

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Jengka 19, Ramly Ahmad berkata, peneroka tidak menghalang projek berkenaan dengan memberi keizinan pada kadar pampasan RM1,000 sepokok dan TNB perlu membeli tanah terlibat agar peneroka tidak dibebani membayar cukai tanah.

Menurutnya, perkara tersebut diputus bersesuaian dengan risiko dihadapi peneroka apabila bakal kehilangan lebih 100 pokok sawit dan tiada hak ke atas tanah terbabit.

“Sememangnya peneroka tidak berpuas hati dengan jumlah pampasan yang dibayar TNB kerana dilihat seperti membodohkan orang Felda. Sesiapa pun tidak akan setuju jika harga RM120 hingga RM260 sepokok, sangat tidak munasabah malah harga pengambilan tanah juga murah.

“Kami berharap pihak TNB membuat pertimbangan rasional  kerana setiap pokok kelapa sawit memberi pulangan hasil sehingga tempoh 25 tahun,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: