Friday, August 28, 2015

Sharifah Sakinah Ikuti Kursus Kecergasan Di New York




asdd
Sakinah bakal ke New York, Amerika Syarikat bagi mengikuti kursus dalam bidang kecergasan.
PETALING JAYA: Pelakon Sharifah Sakinah bakal berhijrah ke New York, Amerika Syarikat selama enam bulan untuk mengikuti kursus kecergasan di negara itu.

Sakinah atau nama sebenarnya Sharifah Nurul Shakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired, 26, berkata, kursus itu dipilih bagi memantapkan pengetahuan dan teknik dalam bidang tersebut memandangkan dia sendiri membuka kelas kecergasan.

"Insya-Allah saya akan berangkat ke New York pada Mac tahun hadapan untuk mengikuti kursus kecergasan di sana.

"Sebagai seorang yang serius dalam bidang tersebut saya mahu menimba sebanyak mungkin ilmu tentang senaman, diet dan teknik-teknik tentang kecergasan bagi membolehkan saya berkongsi bersama pengikut kelas saya di Malaysia," katanya kepada mStar Online.
Dalam pada itu, Sakinah berasa gementar untuk tinggal di luar negara seorang diri kerana bimbang akan hilang fokus akibat kesunyian.

Namun kata Sakinah, dia bernasib baik kerana pemergiannya ke New York akan ditemani oleh suami selain teman rapatnya.

"Apabila saya keseorangan saya pasti akan hilang fokus dalam sesuatu perkara yang saya lakukan, sebab itu saya bimbang tidak ditemani sesiapa.

"Alhamdulillah buat permulaan suami akan ikut tetapi memandangkan dia bekerja, jadi ada saudara dan teman akan menemani saya selepas itu," jelasnya.

Pemenang trofi Pelakon Wanita Komedi Popular pada Anugerah Lawak Warna 2015 itu bagaimanapun optimis dengan pemergian ke sana dan berharap dapat membawa pulang ilmu untuk dikongsi dengan masyarakat.

"Saya suka bersenam dan mahu membantu masyarakat menjalani hidup sihat. Ini adalah sebab utama saya ke New York bagi mendapat ilmu daripada pakar dalam bidang kecergasan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: