Monday, August 31, 2015

PPZ-MAIWP Aktif Mainkan Peranan Amil, Tanam Sikap Berzakat Kepada Murid Sekolah




PUSAT Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sering merebut peluang dan kesempatan yang ada dalam usaha menyeru umat Islam menunaikan zakat.
Selaku amil, PPZ kini dilihat semakin aktif memainkan peranannya dengan mendekati segenap kelompok masyarakat menerusi pelbagai aktiviti.
Terkini, PPZ tampil dengan sebuah program kolaborasi bersama KLfm dan Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat (1) Jalan Ipoh bagi membolehkan mesej-mesej dakwah zakat dapat disampaikan secara terus kepada golongan sasaran iaitu guru, ibu bapa dan komuniti setempat.
Menerusi program yang dinamakan Santai@“School” yang diadakan di SK Batu Empat (1), penglibatan PPZ nyata tidak tertumpu kepada zakat semata-mata sebaliknya pendekatan lebih bersahaja digunakan dalam aktiviti yang diatur supaya masyarakat Islam lebih jelas dan faham tentang zakat.
"Jika kita buat program formal atau khusus mengenai zakat, ia akan menjadi satu program yang diihat berat oleh masyarakat.
"Melalui penganjuran program bersifat santai seperti ini, banyak aktiviti menarik telah disusun untuk guru, pelajar dan ibu bapa, namun kita tidak lupa untuk menyelitkan mesej dakwah zakat dalam pengisian program," kata Penolong Pengurus Besar Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Nor Mukshar Harun.
Mukshar berkata program selama sehari itu adalah satu majlis ilmu yang menyaksikan PPZ turun padang bersama Van Bergerak PPZ bagi memudahkan orang ramai membuat pertanyaan dan mendapatkan maklumat tentang zakat serta membuat bayaran secara terus.
Selain itu dua penceramah terkenal dari organisasi itu iaitu Dr Mohd Izhar Ariff dan Mohd Fauzi Mustaffa turut didatangkan khas ke sekolah ini bagi menyampaikan ceramah kepada ibu bapa dan guru berkaitan cabaran dalam mendidik anak pada masa kini.
Untuk pelajar, selebriti Man Raja Lawak dibawakan untuk menyampaikan nasihat berguna selain aktiviti lain termasuklah pertandingan pidato.
"PPZ merasakan bahawa kita perlu terus berada dalam masyarakat dalam program seumpama ini pada masa akan datang.
"Kita melihat kaedah ini berkesan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kewajiban menunaikan zakat. Majlis seperti ini kita lihat sebagai serampang dua mata dalam misi meluaskan dakwah zakat," katanya.
Sementara itu guru besar SK Batu Empat (1) Md Faisal Mohd Salih berkata  program ini bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015 melalui anjakan ke-9 iaitu berkerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
Katanya, Santai@“School” adalah program 'win-win situation’ dan menjadi program penutup sempena bulan kemerdekaan di peringkat sekolah itu.
"Ia memberi manfaat jangka pendek dan jangka panjang. Guru dan ibu bapa diberi sebanyak mungkin maklumat tentang zakat manakala untuk pelajar ia adalah pendedahan awal tentang rukum Islam keempat," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: