Saturday, August 29, 2015

Pihak Swasta Diminta Bantu Pasarkan Filem Tempatan Ke Luar Negara




Kamil Othman
KUALA LUMPUR: Syarikat-syarikat swasta di negara ini digalakkan membantu industri filem tempatan memasar dan mengedarkan sesebuah karya yang dihasilkan ke persada antarabangsa.

Ketua Pengarah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman berkata, industri seni filem dilihat memerlukan sesebuah syarikat yang pakar di bidang pemasaran dan pengedaran agar karya tempatan dapat ditonton pada peringkat dunia.

"Perkara ini masih lagi dalam kajian Finas dan berdasarkan kajian dibuat, kita memerlukan syarikat swasta khas yang membuat servis pemasaran dan pengedaran filem tempatan ke luar negara.

"Kiranya pihak penerbit filem itu sendiri perlu melantik mana-mana syarikat bagi tujuan berkenaan.

"Syarikat-syarikat swasta juga dialu-alukan membantu filem kita diedarkan ke peringkat antarabangsa," katanya kepada mStar Online.
Kamil berkata demikian ketika ditemui pada sebuah majlis pertemuan bersama penggiat seni tempatan dan antarabangsa  di Hotel Impiana di sini pada malam Jumaat.



Dalam pada itu, menurut Kamil, pihak penerbit juga perlu bersikap terbuka dan tidak kedekut dalam melaburkan wang mereka atas tujuan pemasaran dan pengedaran filem yang diterbitkan itu.

"Sayang, ketika bertemu dengan penggiat seni luar negara, mereka sering meluahkan rasa terkilan kerana kurangnya filem tempatan diedarkan di negara mereka sedangkan banyak karya kita yang bagus-bagus," ujarnya.

Sementata itu, Kamil turut berkata, pengkarya tempatan juga perlu menghasilkan kandungan filem yang bukan sahaja difahami penonton tempatan, tetapi juga orang luar.

"Maksud saya difahami penonton luar ialah, gaya penyampaian lawak atau perbualan dalam filem itu. Sebagai contoh, Hantu Kak Limah Balik Rumah,  ia hanya difahami masyarakat kita sahaja, kalau orang luar tengok, mereka kurang faham.

"Kebanyakan filem kita isi kandungannya seperti itu. Jadi saya harap ia dapat diubah agar penyampaian cerita boleh difahami sesiapa pun yang menonton," tuturnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: