Monday, August 31, 2015

Azzam Sham Pernah Muntah Di Pentas Kerana Gemuruh




Azzam Sham
PETALING JAYA: Penyanyi dan pelakon Azzam Sham mendedahkan bahawa dia mempunyai perasaan gemuruh keterlaluan sehingga boleh menyebabkannya termuntah di atas pentas nyanyian.

Bagaimanapun, Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham, 19,  berkata, dia kini dapat mengawal perasaan tersebut sedikit demi sedikit selepas enam tahun berada dalam industri seni tanah air.
"Saya memang ada perasaan gemuruh yang keterlaluan yang mana serta merta rasa mual dan ingin muntah. Saya pernah termuntah di pentas nyanyian ketika menyertai pertandingan Idola Kecil musim kedua dahulu.
"Ketika itu produksi bawa saya ke klinik kerana bimbang dengan keselamatan dan doktor memberitahu saya keracunan makanan, walhal saya tahu perkara itu terjadi disebabkan rasa gemuruh," ujarnya kepada mStar Online.

Azzam berkata, setelah enam tahun dalam bidang ini, dia berjaya mengawal rasa gemuruh tersebut secara perlahan-lahan.

Katanya, perasaan tersebut berkurangan selepas dia semakin dewasa dan mempunyai keyakinan diri.
"Saya sertai Idola Kecil ketika umur saya 12 tahun dan ketika itu memang takut untuk nyanyi di atas pentas dan hadapan orang ramai kerana tiada pengalaman.
"Sekarang bila semua itu sudah biasa, rasa gemuruh pun semakin berkurangan. Ia timbul bila saya buat perkara yang saya kurang yakin atau pertama kali melakukannya," ujarnya.

Dalam pada itu, Azzam yang baharu sahaja melancarkan single keduanya berjudul Cinta Sejatiku mengakui menerima maklum balas daripada peminat dari Indonesia di laman sosial.
Katanya, ramai ramaja negara jiran itu yang memberi komen positif tentang lagu tersebut apabila mendengarnya menerusi lamanYoutube.
"Alhamdulillah, lagu Cinta Sejatiku sudah mula dimainkan di radio-radio tempatan dan yang saya pelik apabila ramai orang Indonesia yang komen tentang lagu ini di Instagram saya.

"Mereka suka dan memberitahu rakan-rakan lain supaya mendengar lagu tersebut diYoutube," katanya.

Azam berkata, perkara itu terjadi mungkin disebabkan klip video Cinta Sejatikudilakukan di Jakarta Indonesia.

"Video klip dibuat di Indonesia dan mungkin kerana itu mereka suka serta menyuruh rakan-rakan mereka yang lain untuk menonton," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Azzam berkata dia kini sibuk berlakon untuk drama siri Oh My English! Class of 2015 musim keempat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: