Sunday, June 28, 2015

Scha bantu fakir miskin

Ramadan bagai satu rahmat yang membuka banyak ruang dan peluang kepada sesiapa saja menabur budi dan jasa. Sama ada secara terbuka atau sembunyi, setiap amalan ada ganjaran tersendiri.
Pelakon dan pengacara Scha Al-Yahya, 32, turut terpanggil dengan kerja-kerja amal melalui World Hunger Relief anjuran KFC dan Pizza Hut Malaysia, baru-baru ini. Segalanya bermula selepas Scha terbabit dengan projek CSR tahun ini.
Katanya, selama ini kita asyik berseronok hingga terlupa perkara sedih dan serius. Malah anaknya, Lara juga sejak lahir sering dilimpahi kesenangan.“Hakikatnya, ramai anak-anak yang sebaya Lara tidak mendapat makanan berzat. Tersedar dengan isu itu, saya ada bercakap dengan kawan untuk turun padang melakukan kempen CSR.
“Tidak sangka, selepas berbual-bual dengan teman-teman, saya dihampiri wakil KFC dan Pizza Hut Malaysia untuk menjadi jurucakap kempen yang sudah pun bergerak secara luas di luar negara,” katanya.
Isteri pengacara popular, Awal Ashaari itu bangga kerana artis luar negara turut terbabit dengan World Hunger Relief seperti Christina Aguilera, Lee Seung Gi dan ramai lagi.
Melalui kempen itu, Scha berpeluang mendekati golongan masyarakat fakir miskin, termasuk golongan gelandangan di kawasan pedalaman seluruh Malaysia.
Scha bersama wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) terbang ke Sabah, Sarawak, malah ke negeri-negeri Pantai Timur yang terjejas akibat banjir besar tahun lalu.
“Apabila saya turut serta dalam aktiviti memberi makan bersama golongan gelandangan, saya jadi terkejut sebab tidak sangka golongan ini ada dalam negara kita.
“Saya sebenarnya tidak pernah tengok dengan mata sendiri kecuali isu itu sering dipaparkan di akhbar atau televisyen,” katanya.
Biarpun belum lagi berupaya untuk bergerak sendiri melakukan kerja-kerja amal kerana faktor kerjaya, Scha secara bersembunyi tetap memberi sumbangan tanpa liputan media atau berkongsi di laman sosial.
Katanya, tidak semua sumbangan dilakukan perlu dibesar-besarkan supaya semua orang tahu. Contohnya kalau tiba-tiba ternampak ‘posting’ di laman sosial ada golongan yang perlukan bantuan, dia dengan senyap-senyap memasukkan duit.
“Kalau sumbangan itu tidak disertakan nombor akaun bank, saya akan hubungi orang yang muat naik info itu dan tanya bagaimana nak menyumbang,” katanya.
Seronok berbual mengenai aktiviti amal dilakukannya, Scha akui rasa rindu untuk berlakon tetap terpahat dalam dirinya.
Malah bergelar usahawan, ibu, jurucakap kempen dan model iklan tidak menjadi sebab dia harus melupakan dunia lakonan yang menjadi kerjaya awalnya dulu.
Katanya, tawaran berlakon masih ada cuma kadangkala jadual penggambaran dengan hal-hal lain seperti bisnes, anak dan jurucakap produk membuatkan dia terikat.
“Ada setengah produksi yang tawarkan saya pada tarikh tertentu yang mana saya terikat dengan kempen. Kalau mereka (produksi) boleh ikut jadual saya, okeylah!
“Tapi kalau kena ikut jadual mereka, masalahnya saya juga sudah berjanji dengan komitmen lain,” katanya.
Bintang Awan Dania itu bakal masuk ke set penggambaran drama bersiri selepas Aidilfitri. Sebelum itu, Scha baru saja terbabit dengan projek alih suara filem Transformers: Age Of Extinction yang akan siarkan di saluran HBO/ HBO HD (Astro 411/431) pada 17 Julai, jam 9 malam.
Selain Scha yang mengalih suara watak Darcy Tirrel, turut terbabit Fahrin Ahmad, Hisyam Hamid, Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat, Hazama, Elizabeth Tan, Izzue Islam dan Ayai Ilus.
SCHA bersama anak-anak kurang bernasib baik dari sekitar Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: