Sunday, June 28, 2015

Mesin pelerai padi bantu pesawah

  • Mesin pelerai padi bantu pesawahSiteo bersama mesin pelerai padi ciptaannya.

JIKA dahulu, golongan pesawah di kawasan pedalaman terpaksa menggunakan kudrat empat kerat mereka untuk mengasingkan biji padi daripada tangkainya.
 
Bukan sahaja memenatkan, malah butir padi yang berjaya dileraikan juga kadang kala berkurangan dan ia amat merugikan mereka yang berhempas-pulas membanting padi dengan menggunakan tangan.
 
Bagaimanapun, situasi itu tidak lagi menghantui pesawah memandangkan sudah adanya produk inovasi ciptaan Siteo Akang daripada Keningau, Sabah yang menghasilkan mesin pelerai padi.
 
Uniknya, Siteo memberitahu, mesin itu mampu meleraikan satu ekar padi daripada tangkainya dalam masa dua jam sahaja.
 
“Kalau pesawah menggunakan kaedah menghempas padi menggunakan tangan, ia mengambil masa lebih satu hari untuk satu ekar sawah. Jadi, mesin ini membantu meringankan beban petani.
 
“Selain itu, mesin ini juga boleh mengurangkan jumlah padi yang terbuang, sekali gus mengelak pembaziran,” katanya.
 
Menurutnya, ilham mencipta mesin tersebut tercetus kerana beliau sendiri merasai pengalaman bersusah-payah membanting padi sendiri selama 10 tahun bergelar petani.
 
“Sebelum ini, saya pernah bekerja di bengkel membaiki kereta dan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan kenderaan selama lapan tahun.
 
“Kemudian, saya ambil keputusan berhenti kerja di bengkel untuk mengusahakan sendiri bendang milik saya,” katanya.

 
Guna barangan terpakai
 
Dek kesusahan mengasingkan padi daripada tangkainya, Siteo akhirnya mula membuat kajian dan penyelidikan sendiri bagi menghasilkan alat yang boleh membantu golongan petani sepertinya.
 
Menariknya, mesin ciptaan Siteo itu menggunakan barang terpakai iaitu besi dan barangan gantian kenderaan seperti tayar serta menggunakan enjin pam air. Ia digerakkan dengan menggunakan petrol.
 
“Dengan pengalaman sebagai mekanik dan petani, saya mula mencipta mesin pelerai padi kira-kira 15 tahun lalu.
 
“Percubaan saya pada awalnya gagal kerana mesin yang dihasilkan mengurangkan jumlah padi yang berjaya dileraikan daripada tangkai. Empat kali ciptaan saya gagal ketika itu,” katanya.
 
Bagaimanapun, berkat semangat tinggi untuk membantu dirinya dan rakan-rakan, Siteo akhirnya berjaya menambah baik mesin pelerai padinya.
 
Sehingga kini, Siteo telah menjual lebih 100 unit mesin pelerai padi di sekitar Keningau, Tambunan, Tenom dan Ranau, Sabah.
 
Malah, jualannya semakin meningkat selepas Yayasan Inovasi Malaysia membantu Siteo untuk mempatenkan mesin tersebut, sekali gus mempromosikan ciptaannya ke seluruh Malaysia.
 
Walaupun mesin pelerai padi itu telah dikomersialkan di pasaran setempat, Siteo masih lagi tetap berusaha memajukan lagi teknologi mesin tersebut mengikut pengalaman petani setempat.
 
“Kalau sesiapa berminat untuk membeli mesin pelerai padi ini, mereka perlu menempahnya terlebih dahulu jika sudah kehabisan stok mesin yang dipasang.
 
“Biasanya, saya mengambil masa selama lapan hari untuk menyiapkan satu unit mesin pelerai padi,” katanya.
 
Ia dijual pada harga antara RM2,800 hingga RM3,200 bergantung kepada kos dan harga besi semasa.

 
Rancang kembangkan perniagaan
 
Siteo berhasrat untuk mengembangkan jualan mesin pelerai padinya di Semenanjung Malaysia pada masa akan datang.
 
“Saya mahu petani di semenanjung memiliki mesin ini. Buat masa ini, hanya kawasan sekitar Sabah saja yang membeli mesin pelerai padi saya. Mesin ini juga belum memasuki Sarawak,” katanya.
 
Beliau yang mempunyai sebuah bengkel di Keningau, Sabah, kini dibantu oleh empat anak saudaranya untuk menghasilkan mesin berkenaan.
 
“Masa mula-mula dulu, memang saya buat sendiri mesin ini. Namun bila ada banyak permintaan, anak saudara membantu saya hasilkan mesin ini.
 
“Mujurlah setakat ini, orang perseorangan yang beli. Kalau ada syarikat yang mahu beli mesin pelerai padi kami, saya sangat alu-alukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: