Sunday, June 28, 2015

MBM perkenal model kereta sport baru

Sepang: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan model terbaru dalam siri AMG iaitu Mercedes-AMG GT S yang juga kereta sport kedua dibangunkan selepas Mercedes-Benz SLS AMG.
Model itu dihasilkan menerusi gabungan pemanduan dinamik dan prestasi litar lumba kelas pertama, namun dalam masa sama praktikal untuk kegunaan harian.
Naib Presiden, Pemasaran dan Jualan Kenderaan Penumpangnya, Mark Raine berkata, model terbaru itu kereta sport dihasilkan dengan rekaan kontemporari melalui rekaan badan menggunakan aluminium keseluruhannya.
Menurutnya, sistem pemanduannya dibangunkan konsisten dengan rekaan luaran model berkenaan dan rekaan bahagian belakang lebih panjang, sesuai untuk kegunaan harian, malah bahagian bagasinya mudah dicapai sekali gus menjamin keselesaan untuk perjalanan jarak jauh.“Model ini dipadankan dengan dua enjin turbo 4.0 liter V8 yang mampu menghasilkan prestasi mengagumkan dengan kelajuan maksimum 310 kilometer sejam dan mengambil masa 3.8 saat daripada keadaan statik ke 100 kilometer sejam,” katanya.
Selain model Mercedes-AMG GT S, pihaknya memperkenalkan model Mercedes-AMG GT S Edition 1 dengan beberapa ciri tambahan termasuk bumbung gentian karbon. Model GT S dan GT S Edition 1 masing-masing dijual pada harga RM1.15 juta dan RM1.2 juta.
Sementara itu, Raine berkata, jumlah jualan bagi siri AMG mencatat peningkatan jualan 66 peratus dari tahun ke tahun dan akan turut memperkenalkan model Mercedes-AMG GT pada tahun depan.
MARK dengan kereta model terbaru, Mercedes-AMG GT S pada majlis perlancarannya di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: