Sunday, June 28, 2015

Jual 60 ayam, itik salai dalam sehari

  • Jual 60 ayam, itik salai dalam sehariMarzuki dan isterinya, menjual itik dan ayam salai di tepi jalan baharu Pasir Mas Rantau Panjang, sepanjang Ramadan.

RANTAU PANJANG – Itik dan ayam kampung salai yang dijual di gerai dekat jalan baharu Pasir Mas Rantau Panjang, menarik perhatian penduduk sepanjang Ramadan kali ini.

Peniaga, Marzuki Abdul Rahman, 37, berkata, sebanyak 60 ekor itik dan ayam kampung salai terjual dalam masa sehari, pada setiap hujung minggu.

Manakala pada hari biasa katanya, dia mampu menjual sebanyak 40 ekor dalam masa enam jam, sehari.

Menurutnya, dia mula menjual itik dan ayam kampung salai selepas melihat saudaranya menjual juadah berkenaan di Kampung Banggol Chicha.

“Itik paling sukar diperoleh maka saya terpaksa mencarinya di seluruh Pasir Mas dan kadang kala sehingga ke Pasir Puteh dan Bachok.

“Kebiasaannya, pelanggan gemar memasak gulai kari itik manakala ayam kampung gulai atau sup,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Zaliha Abdullah, 27, berkata, itik salai dijual serendah RM20 seekor manakala ayam kampung di antara RM12 hingga RM26 seekor.

“Tiada pantang larang untuk menyediakan itik dan ayam kampung salai, tetapi bagi mengekalkan aromanya, saya mencabut sendiri bulu itik dan ayam kampung berkenaan.

“Ketika salai pula, saya gunakan api yang perlahan dan saya elak daripada menggunakan api daripada alat penunu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia mampu mengaut hampir RM500 hingga RM600, pada hujung minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: