Sunday, June 28, 2015

ASB2 ditawar di bawah SPA-KWSP

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) akan ditawarkan di bawah Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (SPA-KWSP) bermula 1 Julai 2015.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP Mohamad Nasir Ab Latif berkata, dengan penyenaraian ASB2, terdapat sembilan dana yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
“Ahli-ahli yang ingin melabur dalam dana ASB2 ini boleh berbuat demikian melalui ASNB yang juga anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Ahli-ahli boleh memindahkan sebahagian simpanan dalam Akaun 1 untuk pelaburan dana unit amanah melalui 24 Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan di bawah SPA-KWSP, seterusnya memberikan pilihan kepada ahli untuk menambah simpanan persaraan mereka.Di bawah skim ini, ahli-ahli boleh memindahkan simpanan mereka tidak melebihi 20 peratus setiap tiga bulan daripada jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang melebihi Simpanan Asas.
Mohamad Nasir juga menggalakkan ahli-ahli menggunakan sepenuhnya kemudahan Portal Informasi SPA-KWSP untuk mendapatkan maklumat mengenai dana-dana unit amanah yang ditawarkan di bawah SPA-KWSP serta IPD yang menguruskan unit amanah terbabit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: