Thursday, April 2, 2015

Syarul Ridzuan, Mia Ahmad Bimbang Hilang Populariti Di Slot Akasia


Syarul Ridzuan dan Mia Ahmad
PUTRAJAYA: Pelakon drama Hati Perempuan menaruh harapan tinggi terhadap karya itu selain menggangap ia sebagai batu loncatan untuk menaikan populariti mereka.

Kedua-dua pelakon utamanya iaitu Syarul Ridzuan dan Mia Ahmad merasakan drama yang disiarkan menerusi slot Akasia, TV3 itu dapat melonjakkan nama mereka agar lebih dikenali.

Syarul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 26, berkata, pada awalnya dia harus berfikir berkali-kali sebelum mengambil keputusan untuk memegang watak utama dalam drama itu kerana populariti slot berkenaan.

Ini kerana kata Syarul, sebagai pendatang baru, ada kalanya kemunculan mereka di slot utama membantu meraih sokongan peminat dan jika nasib kurang baik, ia akan memusnahkan kerjaya seseorang.
Antara adegan dalam Hati Perempuan.

"Saya mengambil risiko untuk berlakon dalam slot ini bersama pelakon baharu supaya saya dapat berdikari sendiri kerana sebelum ini saya banyak dibantu oleh pelakon berpengalaman dalam sesebuah drama," katanya kepada mStar Online.
Syarul berkata demikian ketika ditemui pada sesi penggambaran di sebalik tabir drama slot Akasia 'Hati Perempuan' di Taman Ekuestrian Putrajaya, di sini, Rabu.

Hati Perempuan yang merupakan drama adaptasi novel itu akan disiarkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 7 malam bermula 30 Mac menerusi slot Akasia di TV3.

Selain Syarul Ridzwan, drama 28 episod arahan Kas Roshan itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Mia Ahmad, Hafreez Adam, Aidil Aziz, Bella Nazari, Hafeez Mikail dan Nazmi Adhwa.

Sementara itu heroin drama berkenaan Mia Ahmad atau Shamiha Ahmad Baderi, 27, berkata, pada awalnya dia takut untuk menerima tawaran itu kerana risau dengan penerimaan peminat mengenai lakonannya itu.

Syarul Ridzuan.

"Slot ini boleh menaikkan seseorang artis itu atau menjatuhkan mereka tetapi bila difikirkan kembali peluang ini bukan datang selalu, takkan saya nak orang kenal saya menerusi watak pembantu sahaja.

"Saya mengambil ini sebagai satu cabaran dan banyak membuat kajian mengenai novel tersebut untuk menghayati watak yang diberikan supaya dapat memberi yang terbaik dan diterima oleh penonton," katanya.

Drama ini mengisahkan mengenai Yuhanis (Mia Ahmad), seorang gadis tegas dan berdikari yang bekerja sebagai arkitek di syarikat Izzudin & Co manakala Tengku Zaril (Syarul Ridzwan), adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Paradigma Holding, mempunyai rangkaian perniagaan seluruh dunia.

Bagi Yuhanis, Tengku Zaril ialah lelaki kaya yang sinis dan menjengkelkan. Tetapi entah mengapa Tengku Zaril tiba-tiba melamar Yuhanis sedangkan sering sahaja mereka berselisihan faham sewaktu berurusan. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: