Thursday, April 2, 2015

Elfira selesa bersama Baim Wong


  • ElfiraElfira

HUBUNGAN antara pelakon genit dan aktor tampan seberang ini bukan lagi rahsia di kalangan peminat seni tempatan.

Sejak dipertemukan menerusi telemovie Untuk Terakhir Kali beberapa tahun lalu, kedua-duanya dilihat semakin akrab sehingga menjadi tumpuan peminat.

Meskipun tidak pernah memberi kata putus mengenai hubungan mereka, namun keduanya dilihat semakin mesra bersama.

Menariknya, jika sebelum ini si gadis pernah terbang ke Indonesia untuk menemani si lelaki ke majlis perkahwinan artis terkenal di negara itu, baru-baru ini si lelaki pula menunjukkan kesungguhan apabila sanggup ke Malaysia semata-mata untuk meraikan majlis ulang tahun kelahiran pelakon berusia 21 tahun ini.

Mengulas mengenai cerita cinta mereka, empunya nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri memberitahu, dia dan pelakon Baim Wong sekadar teman biasa.

"Memang kami rapat tetapi masih belum di tahap bercinta. Saya selesa bersama dia lebih-lebih lagi telah mengenalinya sejak empat tahun lalu," katanya.

Mengakui tidak mahu bercinta, Elfira yang mesra disapa El ini tidak menolak sekiranya mereka mempunyai jodoh bersama.

"Soal kahwin saya serahkan kepada jodoh, siapa pun jodoh saya, saya terima dengan hati terbuka.

"Bagaimanapun, dalam usia saya sekarang saya lebih selesa fokus kepada pelajaran dan karier dahulu," katanya.

Kisah mereka menjadi lebih hangat apabila Baim terdahulu bergurau kepada media Indonesia bahawa dia ditemani kekasih, iaitu Elfira ketika menghadiri majlis perkahwinan pelakon Raffi Ahmad.

Fokus pelajaran

Sementara itu, pengacara Mad Market ini berkata, dia kini mahu memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan terpaksa menolak tawaran berlakon buat sementara waktu.

"Saya sedang menyambung pelajaran di peringkat diploma di sebuah kolej, jadi saya tidak mahu kesibukan kerja membuatkan pelajaran saya terganggu.

"Lagipun, saya perlu fokus untuk mendapatkan keputusan terbaik," kata pelajar Diploma Seni Persembahan di Kolej Damansara Utama (KDU) ini.

Selesa bergelar pengacara, El menjelaskan, karier barunya itu merupakan minatnya sejak dahulu lagi.

"Alhamdulillah, menjadi pengacara tidak sesibuk berlakon sehingga menjejaskan statusnya sebagai seorang pelajar.

"Malah saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran untuk Mad Market musim terbaru. Setakat ini, bila ada kelapangan sahaja saya akan meluangkan masa untuk sesi penggambaran.

"Berbeza menjadi seorang pelakon yang menuntut masa lebih panjang, tetapi ia bukan bermakna saya mahu meninggalkan dunia lakonan sebaliknya buat sementara waktu sahaja.

"Insya-ALLAH, selepas tamat pengajian saya akan aktif semula," katanya turut bergelar penyampai radio di sebuah stesen radio popular tempatan kini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: