Sunday, December 7, 2014

Senaman dengan leher tergantung



LIANGBIN mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menguasai senaman pelik ini.


SEORANG guru seni mempertahankan diri kung fu menunjukkan kemampuannya melakukan beberapa gerakan senaman dalam keadaan lehernya digantung pada sebatang pokok.
Guru kung fu tersebut, Li Liangbin yang berasal dari kampung Lizhuang di wilayah Shandong, Beijing, China mendakwa, dia mampu melakukan senaman dengan gaya berbahaya tersebut kerana mempunyai otot leher yang kuat.
Lebih menarik, lelaki hebat berusia 49 tahun itu juga boleh mengawal pernafasannya seperti biasa tanpa rasa tercekik ketika lehernya tergantung.
Rasa bebas
Jelas Liangbin, walaupun lehernya diikat dengan tali dan digantung pada sebatang pokok tetapi otot lehernya yang kuat membolehkan dia bernafas seperti biasa.
“Saya berlatih kung fu sejak kecil lagi dan kemahiran tersebut membantu saya untuk menguatkan mana-mana bahagian tubuh yang diingini.
“Untuk menguatkan otot leher ini, saya perlu menjalani rutin latihan secara berdisiplin dengan melakukan pelbagai bentuk senaman dan meditasi,” katanya seperti dipetik portal Mirror.
Menurutnya, melakukan senaman dalam keadaan leher tergantung itu memberikannya kekuatan dan perasaan bebas.
“Biarpun sudah menguasai seni mempertahankan diri ini, saya mahu mencabar kemampuan diri dengan pelbagai cabaran baharu bagi mendisiplinkan tubuh,” ujarnya sambil memberitahu, senaman itu boleh membawa maut sekiranya dilakukan dengan teknik yang salah.
Berbicara lanjut, Liangbin memberitahu, dia mengambil masa kira-kira 10 tahun untuk menguasai senaman pelik itu.
“Kung fu merupakan sebahagian daripada hidup saya dan adalah sangat penting untuk melakukan sesuatu cabaran baharu.
“Jika dilihat, ramai guru kung fu yang boleh memecahkan blok konkrit dengan tangan mereka atau melompat daripada bangunan yang tinggi. Namun, buat masa ini, masih belum ada lagi yang boleh melakukan senaman dengan leher tergantung. Ia sesuatu yang baharu dan mencabar,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: